PENYOKONG pembangkang meraikan kemenangan Ekrem Imamoglu di jalanan Istanbul. -Foto AFP
PENYOKONG pembangkang meraikan kemenangan Ekrem Imamoglu di jalanan Istanbul. -Foto AFP
AFP

Istanbul: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menerima tamparan hebat semalam apabila partinya kalah buat kali kedua dalam pilihan raya datuk bandar Istanbul yang penuh kontroversi susulan ia terpaksa diadakan semula.

Calon parti pembangkang, Ekrem Imamoglu memenangi pilihan raya itu yang diadakan Mac lalu dengan kemenangan tipis 13,000 undi di bandar yang mempunyai 15 juta penduduk itu.

Bagaimanapun, kemenangan itu dibatalkan atas dakwaan berlaku penipuan.

Dengan lebih 99 peratus undi sudah dikira pada malam tadi, Ekrem memenangi pilihan raya itu dengan lebih besar selepas meraih lebih 775,000 undi dan 54 peratus jumlah keseluruhan.

“Ia bukan kumpulan atau parti persendirian, tetapi keseluruhan Istanbul dan Turki memenangi pilihan raya ini.

“Tuan Presiden, saya sedia bekerja dengan anda secara penuh harmoni. Dari sini saya memohon untuk bertemu dengan anda pada kadar segera,” katanya dalam ucapan kemenangan.

Istanbul dianggap sebagai petunjuk utama hala tuju politik negara itu dengan Recep pernah berkata, sesiapa yang menang di Istanbul akan menang di Turki.

Kemenangan pembangkang itu juga menunjukkan pengaruh politik Recep di Turki semakin merosot susulan masalah ekonomi yang membelenggu negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:05 AM