RECEP TAYYIP ERDOGAN
RECEP TAYYIP ERDOGAN
AFP

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berdepan pilihan raya tempatan hari ini yang dianggapnya sebagai perjuangan kelangsungan Turki dengan partinya kemungkinan tewas di Ankara kesan daripada kelembapan ekonomi.

Recep dan Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) yang diterajuinya memenangi setiap pilihan raya sejak mula berkuasa pada 2002 namun pada kali ini penganalisis berpendapat, AKP bukan sahaja berdepan risiko kehilangan Ankara malah Istanbul.

Ini adalah pilihan raya perbandaran pertama sejak Turki meluluskan pembaharuan perlembagaan pada 2017 bagi mencipta kuasa eksekutif presiden yang memberi Recep kuasa lebih luas dan diikuti pilihan raya umum tahun lalu.

Keupayaan Recep memenangi setiap pilihan raya secara berterusan sukar ditandingi dalam sejarah moden Turki tetapi ia kelihatan lebih goyah ketika ini khususnya apabila negara itu bergelut dengan krisis ekonomi, pengangguran dan kadar inflasi yang tinggi.

Kebanyakan kejayaan AKP adalah bergantung kepada kekuatan ekonomi negara itu tetapi beberapa hari sebelum pilihan raya ini, mata wang lira terus jatuh sekali gus mengimbau kenangan buruk krisis kewangan 2018 yang menjejaskan sebahagian besar isi rumah penduduk.

Recep yang juga bekas datuk bandar Istanbul sedar dengan kelemahan itu dan dia berkempen di seluruh negara walaupun tidak menjadi calon.

Sejak Jumaat lalu, dia berkempen di lebih 12 tempat di daerah berbeza di Istanbul.

Dalam pilihan raya kali ini, pengundi akan memilih datuk bandar, ahli majlis dan pegawai tempatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 2:12 PM