LEBIH 10 juta penduduk di Istanbul mengundi hari ini. FOTO AFP
LEBIH 10 juta penduduk di Istanbul mengundi hari ini. FOTO AFP
Reuters

ISTANBUL: Lebih 10 juta penduduk di Istanbul mengundi hari ini dalam pilihan raya semula bagi memilih datuk bandar yang dianggap sebagai satu referendum terhadap kepimpinan Presiden Recep Tayyip Erdorgan dan ujian kepada demokrasi negara itu.

Pada pilihan raya rasmi pada 31 Mac lalu, pembangkang Parti Republik Rakyat (CHP) menang tipis terhadap parti pemerintah AK Party, kekalahan luar biasa terhadap Recep yang dihimpit masalah ekonomi.

Selepas AKP membuat rayuan, Lembaga Pilihan Raya Tinggi membatalkan keputusan itu dengan alasan berlakunya kesalahan dan mengarahkan pilihan raya semula.

Pembangkang menganggap keputusan itu sebagai satu rampasan kuasa terhadap demokrasi.

Recep turut mengulangi kenyataan bahawa sesiapa yang berjaya menang di Istanbul akan memenangi Turki.

Sekiranya AKP tewas kali kedua di Istanbul, di mana Recep pernah menjadi datuk bandar pada 1990-an dianggap memalukan pemimpin itu dan menunjukkan pengaruhnya di Turki semakin merosot.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 11:15 AM