Agensi

PHNOM PENH: Gambar beg sekolah tali rafia buatan bapa seorang murid miskin di Kemboja tular di media sosial kerana dapat diubah kepada tiga jenis bentuk.

Memetik kompas.com, beg berwarna biru itu dianyam bapa NY Keng, murid Sekolah Rendah Lumpat yang berusia lima tahun.

Keng dilaporkan enggan ke sekolah kerana tidak mempunyai beg dan kerana tiada wang bapanya menganyam beg berkenaan untuk anaknya.

Guru Keng, Sophous Suon memuat naik beberapa keping gambar beg unik itu di Facebook dan status berkenaan dikongsi semula lebih 6,204 kali dengan 1,553 ‘likes’.

Sophous berkata, Keng yang berjalan kaki sejauh tiga kilometer tanpa kasut ke sekolah tidak segan membawa beg itu ke kelas.

“Bapanya membuat beg itu kerana terdapat banyak tali rafia di rumah. Menariknya, beg itu boleh diubah kepada tiga jenis bentuk,” katanya kepada kompas.com menerusi Facebook, kelmarin.

Beg Keng yang dibuat bapanya tular di media sosial. FOTO Agensi
Beg Keng yang dibuat bapanya tular di media sosial. FOTO Agensi

Menurut Sophous, murid itu tinggal di Oda Commune Kamrieng yang terletak di daerah Battambang dan keluarganya baru berpindah dari Thailand.

Sementara itu, Sophous berkata, Keng tidak begitu berminat untuk belajar kerana masih kecil.

Sebaik pulang dari sekolah, kanak-kanak itu akan membantu ibu saudaranya mengembala sapi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 9:45 AM