Reuters

JAKARTA: Polis Indonesia menahan sekurang-kurangnya 20 orang yang dituduh mencetuskan rusuhan di Jakarta berikutan keputusan rasmi menunjukkan Presiden Joko Widodo dipilih semula sebagai presiden, kata jurucakap polis hari ini.

Rakaman televisyen hari ini menunjukkan asap kelihatan di belakang puluhan penunjuk perasaan yang menari di atas jalan di daerah Tanah Abang di tengah Jakarta.

Kumpulan berasingan di hadapan badan pemantau pilihan raya melempar batu ke arah polis.

Kereta yang diletakkan berhampiran sebuah pangsapuri mudah alih polis dibakar, lapor media.

PERUSUH bertempur dengan Polis Indonesia di Jakarta. -Foto Reuters
PERUSUH bertempur dengan Polis Indonesia di Jakarta. -Foto Reuters

“Sehingga kini, polis menangkap lebih 20 orang yang menjadi penghasut rusuhan dan jenayah lain,” kata jurucakap polis, Dedi Prasetyo.

Prasetyo berkata, polis menyemak laporan kematian tetapi menegaskan pihak keselamatan termasuk anggota tentera tidak dibekalkan dengan peluru hidup.

Laman web berita, Tirto melaporkan, seorang lelaki maut akibat terkena tembakan di Tanah Abang, memetik kenyataan seorang doktor di sebuah hospital berhampiran.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, 40,000 anggota polis dan tentera bertugas di seluruh Jakarta dalam usaha mengekalkan keamanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:48 AM