Mayat pendatang yang ditemui pengawal pantai Libya di bawa ke darat. Sehingga 200 orang dikhuatiri mati selepas bot yang sesak dengan pendatang dari Afrika karam di perairan  Libya malam tadi.
Mayat pendatang yang ditemui pengawal pantai Libya di bawa ke darat. Sehingga 200 orang dikhuatiri mati selepas bot yang sesak dengan pendatang dari Afrika karam di perairan Libya malam tadi.

Tripoli: Sehingga 200 orang dikhuatiri mati selepas dua bot yang sesak dengan pendatang, sebahagian besarnya dari Afrika karam di perairan Libya malam tadi.

Bot pertama membawa kira-kira 50 orang, terbalik semalam, diikuti bot kedua yang sesak dengan lebih 400 penumpang karam.

Pengawal pantai Libya menyelamatkan kira-kira 200 orang sejak malam tadi dan meneruskan operasi mencari.

Ramai yang mati dalam bot kedua itu terperangkap dalam bot yang terbalik di perairan dekat bandar Zuwara.

Difahamkan, pendatang dalam bot berkenaan datang dari Afrika, Pakistan, Syria, Maghribi dan Bangladesh,.

Pengawal pantai Itali menyelaraskan operasi menyelamat dengan Kesatuan Eropah (EU) kerana pasukan pengawal pantai Libya mempunyai aset terhad, bergantung kepada bot getah, bot penunda dan bot nelayan.

Zuwara, bandar di barat Libya dekat sempadan Tunisia, menjadi lokasi utama sindiket menyeludup pendatang menggunakan Laut Mediterranean untuk ke Eropah.

Sindiket mengambil kesempatan peperangan di rantau itu untuk menyeludup penduduk Syria ke Libya melalui Mesir atau penduduk Afrika melalui Niger, Sudan dan Chad.

Lebih 2,300 pendatang mati tahun ini, akibat kapal dinaiki karam di Laut Mediterranean. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 5:12 PM