Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar untuk golongan M40 dan T20 tidak akan menggunakan peruntukan serta tanah kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rancangan pembinaan MRSM berbayar itu diwujudkan selepas mengambil kira permintaan tinggi ibu bapa berkemampuan terutama alumi sekolah itu berikutan anak mereka tidak layak memasukinya disebabkan tangga pendapatan mereka melebihi syarat kemasukan yang mengutamakan anak B40.

"Ini sedang disusun atur Mara kerana permintaan memasuki MRSM berada di tahap lebih daripada 300 peratus bagi melihat ramai pelajar berkelayakan memasuki MRSM dari segi akademik tetapi tak layak dari segi pendapatan ibu bapa terutama kumpulan T20 dan M40.

"Oleh itu, tanpa berkompromi kualiati dan kelulusan minima akademik, kita akan membuka ruang seluasnya-luasnya untuk anak alumni MRSM memasuki MRSM yang sedia ada apatah lagi berkemampuan untuk membawa anak-anak mereka memasuki MRSM yang akan diwujudkan secara berrbayar ini.

"Untuk maklumat Yang Berhomat (YB) Muar, dalam perancangan kami tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan sebalikya kita menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan kita akan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) berhubung proses dan sumber pendanaan bagi membina MRSM berbayar.

Mengulas soalan tambahan Syed Saddiq, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, pembinaan MRSM berbayar itu juga tidak akan menggunakan tanah rakyat miskin berikutan projek itu dilaksanakan dengan kerjasama pintar dengan beberapa pihak.

"Saya yakin soalan ini telah mendapat maklum balas dari pelbagai pihak. Tentang penggunaan tanah saya ingin memberi jaminan jika pun sekolah MRSM ini didirikan, saya pastikan tidak akan gunakan tanah rakyat miskin, tetapi kita akan kerjasama dengan beberapa pihak yang boleh menggunakan smart partnership untuk pembinaannya.

"Keduanya berkenaan kos tersembunyi (isu keluhan ibu bapa mengenai bayaran MRSM sekarang) itu, saya akan temui Pengerusi Muafakat di Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MRSM masing- masing (untuk) kita cari jalan supayaanak-anak B40 ini tidak terbeban jadi kita akan lakukan satu yang agak berbeza kali ini," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan celahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagai Serai) Ahmad Zahid berkata, tidak timbul kewujudan MRSM berbayar itu membelakangkan konsep sebenar sekolah berasrama penuh sedia ada sebaliknya ia sebagai salah satu alternatif kerajaan bagi memastikan semua anak-anak tidak dinafikan hak pendidikannya.

Sambil memetik kisah kejayaan kumpulan pertama Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab yang beliau tubuhkan tanpa peruntukan kerajaan, sedang melakukanijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Oxford, langkah sama perlu dilakukan Mara.

"Jadi YB Bagan Serai, jangan khuatir soal ini. Saya ingin sebutkan fikrah kita sama, pelaksanaan saya pastikan bahawa kita tidak pernah berkompromi dari segi kualiti, tetapi bagaimana kita nafikan anak-anak M40 dan T20 (apabila) ibu bapa mereka sanggup bayar untuk pelajaran anak.

"Kalau mereka mahu masuk sekolah antarabangsa kosnya tinggi.

"Dalam hal ini (MRSM berbayar, Mara akan buat pemisahan (perbelanjaan) misalnya ini dibayar sepenuhnya oleh kerajaan dan ini akan dibiayai PFI. "Saya fikir objektifnya sama tetapi tak bebankan kerajaan dan kita harus keluar dari kepompong sekarang untuk kita maju bukan berfikir secara jumud atau jahiliah," katanya.

Semalam, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan MRSM berbayar diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.

Katanya, MRSM berbayar itu boleh diuruskan Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 11:40 AM