FELICITY (kanan) hadir di mahkamah di Boston, New York. FOTO/AFP
FELICITY (kanan) hadir di mahkamah di Boston, New York. FOTO/AFP
AFP

NEW YORK: Pelakon siri Desperate Housewives, Felicity Huffman serta aktres sitcom Full House, Lori Loughlin antara puluhan individu elit yang didakwa selepas menipu untuk menempatkan anak mereka di universiti terkemuka Amerika Syarikat.

Mereka dikatakan membayar lebih AS $25 juta (RM102 juta) kepada badan kebajikan palsu dikendalikan seorang individu dari California, William Singer sejak tujuh tahun lalu untuk mengatur keputusan ujian kemasukan ke universiti, SAT dan ACT serta membayar jurulatih sukan di universiti untuk mengambil anak mereka walaupun tidak layak, lapor AFP.

Dilaporkan seramai 50 orang didakwa termasuk ketua eksekutif, ahli kewangan, pengerusi firma guaman, pembuat wain serta pereka fesyen.

Mereka didakwa menipu ujian kemasukan dan mengatur suapan untuk memasukkan anak mereka ke universiti terkemuka seperti Yale, Stanford, Georgetown dan University of Southern California, kata pendakwa raya persekutuan.

Felicity bersama 13 lagi ditahan dan didakwa di Los Angeles semalam manakala yang lain hadir di mahkamah di Boston, New York, Connecticut namun Lori belum ditahan kerana berada di Kanada.

“Semua ibu bapa ini adalah katalog kemewahan dan keistimewaan. Setiap tahun terdapat beratus pelajar berbakat dan rajin berusaha untuk masuk ke universiti terkemuka,” kata peguam AS di Boston, Massachusetts Andrew Lelling.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 11:34 AM