SAAD meninggal dunia selepas terkena serpihan peluru di kepala. FOTO/AGENSI
SAAD meninggal dunia selepas terkena serpihan peluru di kepala. FOTO/AGENSI
AFP

GAZA: Seorang rakyat Palestin terbunuh selepas tentera Israel melepaskan tembakan, kira-kira beberapa jam sebelum perhimpunan besar-besaran diadakan di sempadan Gaza hari ini, kata kementerian kesihatan.

Kementerian itu berkata, mangsa, Mohammed Saad, 20, meninggal dunia selepas terkena serpihan peluru di kepala, lapor AFP.

Kumpulan penunjuk perasaan yang berada di situ memberitahu, mangsa berada pada jarak lebih 100 meter dari sempadan yang dikawal ketat oleh tentera itu sebelum terkena tembakan berkenaan.

Ribuan rakyat Palestin dijangka menyertai perhimpunan besar-besaran di beberapa kawasan sepanjang sempadan Gaza-Israel, selepas setahun bantahan itu diadakan bagi menuntut hak rakyat Palestin yang menjadi pelarian untuk dibenarkan pulang ke perkampungan mereka apabila dihalau dan tanah mereka dirampas rejim Zionis ketika penubuhan negara Yahudi itu pada 1940.

Sekurang-kurangnya 259 rakyat Palestin mati ditembak Israel di sepanjang sempadan sejak tunjuk perasaan itu bermula manakala dua tentera Israel terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 6:36 PM