ASAP yang dapat dilihat dari Rafah, selatan Gaza akibat serangan Israel di kawasan berhampiran sempadan Mesir. FOTO REUTERS.
ASAP yang dapat dilihat dari Rafah, selatan Gaza akibat serangan Israel di kawasan berhampiran sempadan Mesir. FOTO REUTERS.
Agensi

Baitulmaqdis: Tentera Israel mendakwa tidak sengaja melepaskan tembakan hingga memasuki sempadan Mesir, dekat selatan Kerem Shalom.

Insiden berlaku tidak lama selepas konvoi kedua bantuan kemanusiaan memasuki Gaza menerusi lintasan Rafah.

"Sebuah kereta kebal tentera Israel secara tidak sengaja melepaskan tembakan sebentar tadi, mengena tapak Mesir berhampiran sempadan di kawasan Kerem Shalom," kata tentera dalam satu kenyataan rasmi.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan rejim itu menzahirkan 'kekesalan' akibat insiden berkenaan.

Sementara itu, tentera Mesir melaporkan beberapa pengawal bertugas di sempadan cedera ringan, terkena serpihan peluru kereta kebal Israel.

Kerem Shalom adalah penempatan Israel yang bersempadan Gaza dan Mesir.

Sejak 7 Oktober, rejim Zionis melancarkan operasi besar-besaran ke atas Gaza susulan serangan mengejut pejuang Hamas terhadap bandar diduduki yang mengorbankan 1,400 rakyat Israel.

Perang itu menyebabkan sekurang-kurangnya 4,651 penduduk Palestin terbunuh dengan Israel menyekat bekalan elektrik dan air, manakala bantuan kemanusiaan hanya dibawa masuk ke Gaza pada Sabtu selepas beberapa hari rundingan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 12:06 PM