AFP

CHRISTCHURCH: Dua hari selepas insiden serangan di dua masjid menggemparkan dunia, segelintir penduduk secara sukarela mula menyerahkan senjata api masing-masing kepada pihak berkuasa.

Mereka membuat keputusan itu sebagai tanda sokongan bagi menghentikan keganasan sebelum memuat naik bukti penyerahan senjata api menerusi akaun media sosial.

Petani yang juga ahli Parti Green dari Wairarapa, John Hart berkata, dia menyerahkan raifal separa automatik miliknya di balai polis pagi tadi.

JOHN Hart hari ini menyerahkan senapang separuh automatik kepada polis. Foto Agensi
JOHN Hart hari ini menyerahkan senapang separuh automatik kepada polis. Foto Agensi

Dia memuat naik bukti serahan di akaun Twitter dengan tujuan untuk mengajak pemilik senjata api lain melakukan perkara sama.

“Dalam keadaan tertentu, ia amat berguna ketika bekerja di ladang, namun ia tidaklah begitu penting berbanding risiko jika salah guna senjata api.

“Kita tidak memerlukannya di negara ini. Kita perlu pastikan ia #NeverAgain,” tulisnya.

Sejak serangan itu juga, laman beli-belah dalam talian, Trade Me turut menghentikan penjualan senjata separa automatik serta merta.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 3:52 PM