NEW Zealand melancarkan skim pembelian semula senjata dalam usaha menghapuskan pemilikan senjata separa automatik. FOTO REUTERS
NEW Zealand melancarkan skim pembelian semula senjata dalam usaha menghapuskan pemilikan senjata separa automatik. FOTO REUTERS
AFP

WELLINGTON: New Zealand semalam melancarkan skim pembelian semula senjata dalam usaha menghapuskan pemilikan senjata separa automatik yang digunakan dalam serangan masjid di Christchurch yang mengorbankan 15 jemaah.

AFP melaporkan, Perdana Menteri, Jacinda Adern sebelum ini berikrar dalam tempoh beberapa jam selepas insiden itu bahawa undang-undang senjata negara itu akan diperketatkan dan kerajaannya menyegerakan komitmen mereka dalam tempoh hanya tiga bulan.

“Pembelian semula dan pengampunan hanya mempunyai satu objektif iaitu menghapuskan senjata berbahaya daripada terus dimiliki akibat kehilangan banyak nyawa di masjid Al Noor dan Linwood,” kata Menteri Polis, Stuart Nash.

Warga Australia, Brenton Tarrant yang dituduh di mahkamah didakwa menggunakan lima senjata termasuk dua raifal separa automatik ala tentera (MSSA) ketika melakukan serangan terbabit.

Ahli parlimen membuat undian untuk mengharamkan MSSA dengan undi 119 berbalas 1 susulan kejadian yang menggemparkan itu.

Pemilik senjata berlesen kini mempunyai tempoh enam bulan untuk menyerahkan senjata mereka yang kini dianggap haram mengikut skim itu dan diberi pengampunan bahawa mereka tidak akan didakwa dalam tempoh berkenaan.

Selepas tempoh itu tamat, pemilikan senjata api secara haram boleh dihukum penjara hingga 5 tahun.

Pampasan yang akan dibayar dalam tempoh itu adalah berdasarkan model dan keadaan senjata api dengan nilai keseluruhan kos dianggarkan sebanyak NZ$218 juta (RM595 juta). -

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 11:33 AM