TIMOTHY Ray Brown berjaya bebas dari  virus HIV selepas 12 tahun lalu. FOTO Agensi
TIMOTHY Ray Brown berjaya bebas dari virus HIV selepas 12 tahun lalu. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang lelaki yang HIV positif di Britain menjadi individu kedua yang diisytiharkan bebas dari virus berkenaan selepas menjalani prosedur pemindahan sel stem untuk merawat kanser yang dihadapinya.

Satu kajian perubatan terbaru mendedahkan, lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu disahkan bebas daripada jangkitan virus berkenaan selepas 18 bulan tidak menjalani rawatan menghapuskan virus.

Individu pertama yang terselamat selepas menjalani teknik berisiko tinggi itu dan disahkan bebas HIV adalah warga Amerika Syarikat, Timothy Ray Brown yang dirawat di Jerman kira-kira 12 tahun lalu.

Brown yang dikenali sebagai pesakit Berlin menjalani teknik bahaya berkenaan untuk merawat penyakit leukemia.

Beberapa cubaan pemindahan sel stem beberapa tahun selepas itu gagal dan kebanyakannya berakhir dengan kematian.

Kes terbaru itu disiarkan di Internet kelmarin oleh jurnal Nature membabitkan penyelidik dari empat Universiti di United Kingdom ia itu UCL, Imperial, Oxford dan Cambridge. Kajian itu dibentangkan semalam di satu persidangan HIV di Seattle, Amerika Syarikat.

Pesakit itu disahkan positif HIV pada 2003 sebelum menghidap kanser limfoma Hodgkin pada 2012 dan bersetuju menjalani pemindahan stem sel pada 2016.

Doktor berjaya mencari penderma yang mempunyai gen yang ada rintangan HIV yang boleh menghapuskan sel kanser dan virus HIV sekali gus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 4:52 PM