DARI kiri Poljak bersama Dr Anna dan Dr Chang pada majlis pelancaran Rawatan Inovatif ADCETRIS®.
DARI kiri Poljak bersama Dr Anna dan Dr Chang pada majlis pelancaran Rawatan Inovatif ADCETRIS®.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Penyakit Hodgkin adalah sejenis limfoma iaitu kanser yang bermula dalam sel darah putih dikenali dengan nama limfosit. Limfosit ialah sebahagian daripada sistem pertahanan tubuh. Terdapat dua jenis limfoma iaitu Hodgkin dan Non-Hodgkin.

Kedua-dua jenis limfoma berkenaan berbeza dari segi sifat, cara ia merebak dan bertindak balas dengan rawatan diberikan.

Bagi limfoma jenis Hodgkin (HL), ia adalah jenis kanser yang jarang berlaku di sistem limfatik, selalunya lebih dilihat pada remaja atau belia.

Dua jenis HL adalah klasik Hodgkin dan pradominan nodular limfosit Hodgkin. Terdapat lebih 62,000 kes HL di seluruh dunia setiap tahun dengan 60 peratus pesakit adalah lelaki.

Tidak dapat dipastikan apa sebenarnya yang mencetuskan HL, namun faktor yang meningkatkan risiko mendapat HL adalah usia antara 15 hingga 30 tahun serta mereka yang melebihi 55 tahun.

Lelaki juga lebih banyak didapati menghidap HL berbanding wanita selain risiko meningkat bagi mereka yang mempunyai penyakit disebabkan virus Epstein-Barr. Selain itu, mereka yang mempunyai HIV/AIDS lebih berisiko mendapat HL kerana faktor pertahanan badan yang lemah.

Simptom HL antaranya adalah ketulan nod limfa membengkak pada bahagian leher, bawah lengan atau di bahagian kelangkang, tanpa rasa sakit, demam dan kesejukan, peluh pada waktu malam, kehilangan berat badan mendadak, kulit gatal, hilang selera dan keletihan melampau.

HL selalunya dikesan melalui ujian biopsi yang dilakukan dan rawatannya bergantung kepada tahap kanser dihidapi, kesihatan keseluruhan pesakit serta kedudukan kanser itu pada tubuh.

Dua jenis rawatan utama yang digunakan adalah kemoterapi dan radioterapi. Pemindahan stem sel juga kadangkala dilakukan bagi jenis HL yang sukar dirawat dan kembali semula biarpun sudah menjalani kemoterapi atau radioterapi.

Bagi limfoma jenis Non-Hodgkin pula ia lebih banyak berlaku berbanding HL dan selalunya dilihat pada orang dewasa yang berusia lebih 60 tahun.

Terdapat banyak jenis limfoma jenis Non-Hodgkin, tetapi limfoma sel besar Anaplastik (ALCL) adalah jenis yang jarang berlaku. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu sistemik ALCL (sALCL) dan kulit utama ALCL.

ALCL lebih banyak berlaku dalam kalangan orang muda termasuk kanak-kanak, tetapi tidak berlaku pada mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Punca limfoma jenis Non-Hodgkin tidak diketahui, namun antara faktor risikonya adalah usia melebihi 60 tahun, terdedah kepada bahan kimia seperti racun serangga atau rumpai, sistem imun lemah dan jangkitan virus atau bakteria.

Simptomnya adalah bengkak limpa yang tidak berasa sakit pada bahagian leher, bawah lengan atau kelangkang, bengkak dan sakit pada bahagian abdomen, sakit dada, batuk, sukar bernafas, penat melampau, demam, peluh malam dan kehilangan berat badan mendadak.

Ketua Perkhidmatan Hematologi Kebangsaan Datuk Dr Chang Kian Meng berkata, pilihan rawatan baru bagi HL dan sALCL yang berulang kembali atau bersifat refraktori memang sudah lama diperlukan dan sangat dialu-alukan oleh pesakit yang berada pada puncak kehidupan mereka.

Katanya, HL ialah sejenis penyakit berbahaya yang jarang berlaku, tetapi lazimnya dialami oleh remaja dan orang muda.

“Walaupun ramai pesakit akan menerima rawatan dan sembuh, jangka hayat sangat rendah bagi mereka yang tidak bertindak balas kepada terapi semasa.

“Ini boleh mendatangkan kesan emosi yang besar, bukan saja kepada penghidap kanser, tetapi juga keluarga dan rakan mereka,” katanya pada pelancaran Rawatan Inovatif ADCETRIS® (brentuximab vedotin) oleh Takeda Malaysia Sdn Bhd, baru-baru ini.

Turut hadir, Pakar Perunding Hematologi Barcelona, Dr Anna Sureda.

ADCETRIS® ialah rawatan baru dalam tempoh 20 tahun yang mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup secara keseluruhan bagi penghidap kanser terbabit, yang sebelum ini tiada pilihan rawatan atau mempunyai pilihan rawatan yang terhad.

Sementara itu, Pengurus Besar Malaysia, Singapura dan Vietnam, Takeda Pharmaceuticals, Ivan Poljak berkata, pihaknya bertekad membangunkan dan me­nyediakan rawatan kanser serba maju yang menambah baik kehidupan orang ramai.

“Perkembangan penting ini menandakan satu langkah positif memandangkan Hari Kesedaran Limfoma Sedunia juga disambut pada 15 September setiap tahun. Bersama-sama dengan masyarakat, kita akan terus memberi harapan dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup penghidap HL di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:02 AM