PAUL kini bebas HIV dan leukaemia. FOTO Ihsan City of Hope
PAUL kini bebas HIV dan leukaemia. FOTO Ihsan City of Hope
Agensi

Washington: Seorang lelaki yang sebelum ini menghidap HIV dan leukemia mendakwa sudah sembuh sepenuhnya selepas menjadi perintis rawatan sel stem, lapor portal The Mirror.

Paul Edmonds pertama kali disahkan menghidap AIDS pada kemuncak wabak itu pada 1988.

Lelaki berusia 67 tahun itu hidup dengan penyakit itu selama tiga dekad dan kemudiannya didiagnosis dengan sindrom myelodysplastic pada 2018, sebelum disahkan sebagai leukemia myeloid akut (AML).

Paul, dari Desert Hot Springs, California, sudah berputus asa untuk bebas daripada penyakit itu.

Tetapi kini dia mendedahkan sudah bebas penyakit itu selama lima tahun selepas rawatan pemindahan sel stem di sebuah pusat di California.

Paul pada mulanya hanya dirujuk sebagai pesakit 'City of Hope' pada 2022 selepas menjalani rawatan di klinik kanser.

Paul berkata, dia berkongsi rawatan yang diterima untuk memberikan harapan baharu kepada pesakit yang senasib dengannya.

"Antara sebab utama saya menceritakan kisah ini adalah untuk memberi harapan kepada penghidap HIV. Saya juga ingin mengingati semua perkara yang saya sudah hilang," katanya.

Paul juga pernah menjalani terapi antiretroviral untuk mengekang virus itu sejak 1997, namun tidak menyembuhkan HIV kerana DNAnya kekal dalam sel darah putih.

Sementara itu, Profesor Bersekutu Klinikal bahagian penyakit berjangkit City of Hope Jana K. Dickter berkata, penghidap HIV juga berisiko mendapat kanser, seperti kes Paul.

"Idea untuk merawat kanser bersama HIV adalah keputusan yang menakjubkan," katanya.

Paul terpaksa menjalani tiga pusingan kemoterapi sebelum rawatan untuk menghilangkan kanser.

Dia kemudian menjalani pembedahan pemindahan daripada penderma yang membawa mutasi genetik jarang ditemui bernama homozigot CCR5 delta 32, yang menjadikan pembawa kebal daripada kebanyakan strain HIV.

Sel stem iaitu sel khas yang terdapat dalam sumsum tulang manusia yang boleh bermutasi dipindahkan daripada penderma berkenaan kepada seseorang yang mempunyai HIV.

Hanya dua peratus daripada populasi dianggap membawa mutasi, dengan Paul menyifatkan ia seperti 'memenangi loteri'.

Pencarian dilakukan oleh saintis berdedikasi di jabatan penderma City of Hope, yang menjejak berjuta-juta penderma dari daftar sumsum tulang Be The Match.

Hanya dua kemungkinan padanan dapat dikenal pasti, dengan satu bersetuju untuk sumsum mereka digunakan.

Paul tidak menunjukkan tanda-tanda leukemia sejak rawatan itu dan berkata pemindahan itu mudah sahaja.

"Saya mula berasa baik dan terus sihat, saya sangat berterima kasih kepada individu hebat yang menderma sel stem itu.

"Dia menyelamatkan nyawa saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 3:20 PM