TRAK sarat muatan asid terbalik selepas bertembung dengan bas. FOTO/AGENSI
TRAK sarat muatan asid terbalik selepas bertembung dengan bas. FOTO/AGENSI
AFP

Lubumbashi (Congo): Sekurang-kurangnya 18 terbunuh, selepas sebuah trak yang sarat dengan muatan asid bertembung dengan bas, mengakibatkan bahan kimia itu tertumpah ke atas penumpang.

Kemalangan mengerikan itu berlaku berhampiran perkampungan Fungurume, di tengah-tengah pusat perlombongan tembaga dan kobalt, iaitu antara Lubumbashi serta Kolwezi.

“Sebuah trak membawa asid yang didaftarkan di Tanzania merempuh sebuah bas.

“Kejadian itu menyebabkan asid tertumpah ke atas penumpang bas,” kata pegawai polis trafik wilayah Lualaba, Corneille Lwitetele kepada AFP, semalam.

Lwitetele berkata, seramai 21 mangsa terkorban, manakala 12 lagi cedera, bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Lualaba, Samy Kayombo mendakwa 18 maut dan 12 lagi cedera akibat melecur.

Rangkaian radio yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Demokratik Congo, Okapi pula melaporkan muatan asid itu masih tertumpah hingga tengah hari semalam, dan ia mengalir sehingga ke Kabwe.

“Lalu lintas pulih seperti biasa di lebuh raya yang sibuk pada lewat malam Rabu,” kata polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:25 AM