Seekor daripada anak cimpanzi yang dilarikan suspek. FOTO Agensi
Seekor daripada anak cimpanzi yang dilarikan suspek. FOTO Agensi
Agensi

Lubumbashi (Congo): Anak cimpanzi 'diculik' ketika berada dalam jagaan di sebuah santuari di Congo, awal bulan ini.

Malah, suspek juga menuntut wang tebusan jika mahu tiga anak cimpanzi itu dibebaskan dengan selamat.

Ia mungkin menjadi kes pertama di dunia kes penculikan membabitkan haiwan.

Pengasas pusat santuari itu, Franck Chantereau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi pada 9 September lalu.

"Ini kes pertama di dunia apabila anak cimpanzi diculik dan sejumlah wang tebusan diminta suspek," katanya seperti dilaporkan CNN.

Pusat santuari terletak di sempadan antara Congo dan Zambia yang menjadi laluan utama penyeludupan haiwan spesis itu ke seluruh dunia.

Terdapat lima anak cimpanzi dijaga pusat santuari itu selepas diselamatkan sepanjang tahun ini.

Namun, Cesar, Hussein dan Monga dilarikan suspek pada awal pagi manakala dua lagi ditemui bersembunyi di dapur.

Sejam selepas kejadian, isteri Chantereau menerima mesej dan video anak cimpanzi itu daripada penculik.

"Suspek mendakwa mereka pada awalnya merancang untuk menculik anak kami ketika mereka bercuti di sini.

"Namun disebabkan mereka membatalkan percutian itu, suspek terdesak dan akhirnya menculik anak cimpanzi.

"Malah suspek juga menjadi anak cimpanzi sebagai tebusan dan meminta sejumlah wang daripada kami," kata Chantereau.

Suspek juga mengugut untuk memasukkan dadah dalam badan cimpanzi selain mencederakan haiwan itu jika wang tebusan tidak dibayar.

Pihak berkuasa sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan siasatan lanjut untuk mengesan penculik giat dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 3:26 PM