BEBERAPA pendaki yang cedera dibawa ke Base Camp Gunung Everest. FOTO AFP
BEBERAPA pendaki yang cedera dibawa ke Base Camp Gunung Everest. FOTO AFP
AFP

PELANCONG asing terus ditipu dengan dikenakan caj untuk menaiki helikopter yang dikatakan bertujuan membantu membawa mereka ke tempat selamat dari pergunungan Himalaya, sedangkan mereka tidak perlu membuat bayaran.

Pihak berkuasa Nepal sebelum ini berikrar membanteras penawaran palsu khidmat helikopter itu yang hanya menguntungkan orang tengah.

Satu siasatan awal tahun ini membongkar ‘scam’ itu membabitkan kumpulan pendaki tidak bertauliah memujuk pelancong menggunakan perkhidmatan dengan mengenakan caj yang mahal.

Kerajaan Nepal melancarkan siasatan pada Jun lalu selepas penyedia insurans membayar lebih AS$6.5 juta (RM27.26 juta) membabitkan operasi menyelamat sebanyak 1,300 kali dalam tempoh Januari hingga Mei 2018.

Penyedia insurans global telah memberi amaran akan berhenti memberi perlindungan kepada mereka yang mengunjungi Nepal.

Keadaan ini menggusarkan kerajaan Nepal yang banyak bergantung kepada pendapatan daripada sektor pelancongan.

Invois yang dilihat menunjukkan agensi jelajah dan syarikat sewa masih mengemukakan tuntutan berlebihan untuk melakukan usaha menyelamat dan mengutip bayaran tambahan antara AS$500 (RM2,100) hingga AS$2,100 (RM8,811) setiap penerbangan.

Empat syarikat helikopter yang terbabit melakukan penerbangan terbanyak untuk menyelamat, memberitahu agensi berita bahawa mereka melakukan 489 kali penerbangan pada September dan Oktober.

Sumber lapangan terbang yang meminta identitinya dirahsiakan, berkata lebih 1,000 penerbangan direkodkan dalam tempoh dua bulan dengan rekod sehari sebanyak 68 kali pada lewat Oktober. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 4:16 PM