Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa dari pesawat Yeti Airlines yang terhempas. - FOTO Reuters
Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa dari pesawat Yeti Airlines yang terhempas. - FOTO Reuters
Reuters

Pokhara: Penyelamat menemui perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan daripada pesawat Yeti Airlines ATR 72 yang terhempas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 68 penumpang.

Data pada perakam itu mungkin membantu penyiasat menentukan punca pesawat ATR 72 itu, yang membawa 72 orang, terhempas dalam cuaca cerah sejurus sebelum mendarat di bandar pelancongan Pokhara.

Seorang pegawai Lapangan Terbang Kathmandu, Teknath Sitaula berkata, kotak hitam itu "dalam keadaan baik sekarang. Ia kelihatan baik dari luar."

Pasukan penyelamat sedang bergelut dengan cuaca mendung dan jarak penglihatan yang lemah ketika mereka menyelusuri gaung untuk mencari penumpang yang tidak ditemui, lebih 24 jam selepas nahas.

Pesawat itu, dalam penerbangan berjadual dari Kathmandu ke Pokhara, pintu masuk ke banjaran gunung Annapurna yang indah, membawa 57 warga Nepal, lima warga India, empat warga Rusia, dua warga Korea Selatan, dan masing-masing seorang dari Argentina, Ireland, Australia dan Perancis.

Pegawai polis Pokhara Ajay KC berkata operasi mencari dan menyelamat, yang terhenti kerana kegelapan pada Ahad, telah disambung semula.

"Kami akan mengeluarkan lima mayat dari gaung dan mencari baki empat yang masih hilang," katanya kepada Reuters.

"Sekarang mendung... menyebabkan masalah dalam pencarian."

Jurucakap lapangan terbang Pokhara juga berkata bahawa cuaca menghalang usaha menyelamat, tetapi awan dijangka cerah pada lewat hari.

Hampir 350 orang maut sejak 2000 dalam nahas kapal terbang atau helikopter di Nepal - yang menempatkan lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest - di mana perubahan cuaca secara tiba-tiba boleh menyebabkan keadaan berbahaya.

Pakar mengatakan kemalangan udara biasanya disebabkan oleh gabungan faktor, dan penyiasatan boleh mengambil masa berbulan-bulan atau lebih lama.

Pengawal selia penerbangan India berkata ia akan mengambil semua langkah untuk memastikan penerbangan selamat di ruang udara negara itu.

Nepal telah mengisytiharkan hari perkabungan negara pada Isnin dan menubuhkan panel untuk menyiasat bencana itu dan mencadangkan langkah-langkah untuk mengelakkan insiden sedemikian pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 3:32 PM