IMRAN (kiri) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Pakistan baharu. FOTO Reuters
IMRAN (kiri) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Pakistan baharu. FOTO Reuters
AFP

BEKAS wira kriket Pakistan, Imran Khan, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu pada majlis di ibu kota negara itu, hari ini, secara rasmi mengambil alih kuasa selepas parti pimpinannya menang pada pilihan raya 25 Julai lalu.

Majlis di Rumah Presiden di Islamabad menandakan berakhirnya kepemimpinan yang cuma berkisar antara Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) sejak beberapa dekad, selain tempoh pemerintahan tentera.

Khan, yang mengalirkan air mata dan mengenakan pakaian tradisional hitam, tersenyum apabila tersasul menyebut beberapa perkataan angkat sumpah yang disaksikan Presiden Mamnoon Hussain.

Beliau bersumpah untuk ‘memikul kepercayaan benar dan taat setia kepada Pakistan’ dan ‘menunaikan kewajipan dan melaksanakan tugas dengan jujur, sedaya upaya dan sentiasa mementingkan kedaulatan, integriti, perpaduan, kesejahteraan dan kemakmuran Pakistan.’

Isteri ketiga Khan, Bushra Bibi, sentiasa menundukkan wajah sepanjang majlis.

Ia adalah penampilan pertama Bibi sejak perkahwinan mereka awal tahun ini, dan beliau diiringi kawalan keselamatan ketat dan memakai niqab putih.

Khan, 65, dipilih sehari sebelum itu dalam undian dibuat Perhimpunan Kebangsaan dan dijangka mengetuai kerajaan pakatan.

Pilihan raya itu disifatkan sebagai ‘paling kotor’, dengan tuduhan sepanjang kempen bahawa tentera cuba masuk campur bagi memastikan kemenangan Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 6:43 PM