PENYOKONG Imran Khan ketika menyertai demonstrasi di Karachi, Pakistan. FOTO AFP
PENYOKONG Imran Khan ketika menyertai demonstrasi di Karachi, Pakistan. FOTO AFP
AP

Islamabad: Pihak berkuasa Pakistan pada Ahad, mendakwa Imran Khan, 17 pembantunya dan penyokongnya, atas tuduhan melakukan keganasan serta beberapa kesalahan lain selepas pengikut bekas perdana menteri yang digulingkan itu bertempur dengan pasukan keselamatan di Islamabad, pada hari sebelumnya.

Pengikut Khan bertempur dengan polis di luar mahkamah yang mana bekas perdana menteri itu hadir dalam kes rasuah, Sabtu lalu.

Polis menggunakan belantan dan melepaskan gas pemedih mata, manakala penyokong melempar bom serta membaling batu ke arah pasukan berkuasa berkenaan menyebabkan lebih 50 anggota cedera.

Selain itu, beberapa kereta dan motosikal dibakar, manakala 59 penyokong Khan ditahan semasa keganasan.

Khan, 70, tidak pernah hadir di mahkamah untuk menghadapi pertuduhan menjual dan menyembunyikan aset negara semasa memegang jawatan.

Selain Khan, kes yang difailkan juga menuduh bekas dan penggubal undang-undang, bekas menteri, bekas speaker Dewan Negara dan penyokong Khan.

Tuduhan itu termasuk keganasan, menghalang polis menjalankan tugas, menyerang, mencederakan dan mengancam nyawa anggota bertugas.

Perkembangan itu adalah yang terbaru membabitkan peningkatan keganasan selepas Khan digulingkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen, April lalu.

Sejak itu, bekas bintang kriket yang menjadi ahli politik terbabit mendakwa bahawa penyingkirannya adalah haram dan konspirasi oleh kerajaan Shahbaz Sharif serta Washington, bagaimanapun dakwaan itu dinafikan.

Pada Sabtu, keganasan meletus di luar rumah Khan di bandar timur Lahore, yang mana anggota polis dan penyokong Khan bertempur selama dua hari berturut-turut apabila polis tiba di kawasan kejiranan mewah bagi menahan Khan.

Polis menyerbu kediaman Khan dan menahan 61 suspek selain merampas bom petrol, senjata serta peluru.

Menerusi rakaman video yang disiarkan Ahad, Khan menyalahkan polis atas kegagalannya hadir ke mahkamah, dan mengatakan beliau tidak pernah meninggalkan kenderaannya ketika polis melontarkan gas pemedih mata ke arah penyokong.

Khan berkata, pihak lawan tekad memasukkannya ke dalam penjara atau membunuhnya dan mengecam serbuan di rumahnya sebagai taktik, konspirasi serta rancangan memalukan.

Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah menuduh Khan mencipta semua drama hanya untuk mengelak dibawa ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 10:57 AM