POLIS menyiasat kereta yang digunakan suspek di Heidelberg. - AFP
POLIS menyiasat kereta yang digunakan suspek di Heidelberg. - AFP

Frankfurt am Main (Jerman): Seorang maut manakala dua lagi cedera apabila seorang lelaki merempuh keretanya ke arah pejalan kaki di bandar Heidelberg, selatan Jerman.

Kejadian bagaimanapun tiada kaitan dengan serangan keganasan.

Selepas kejadian, pemandu berusia 35 tahun yang juga warga Jerman itu melarikan diri dengan bersenjatakan pisau ke arah jalan yang sibuk di pusat bandar itu sebelum ditahan selepas ditembak polis.

Menurut polis, seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun mengalami kecederaan serius dan disahkan mati di hospital tidak lama selepas itu. Mangsa yang cedera ialah seorang warga Austria berusia 32 tahun dan wanita Bosnia berusia 29 tahun.

“Setakat ini, siasatan mendapati kejadian tiada kena mengena dengan keganasan,” kata polis.

Polis berjaya mengesan pemandu itu dengan bantuan saksi sebelum melepaskan tembakan ke arah suspek yang turut mengalami kecederaan.

Menurut polis, tiada maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatan pemandu berkenaan. Akhbar Jerman, Bild melaporkan suspek mengalami masalah psikiatri, tetapi polis enggan mengulas dakwaan berkenaan.

Jerman dalam keadaan berjaga-jaga sejak kejadian seorang lelaki Tunisia merempuh sebuah pasar di Berlin menggunakan trak pada Disember tahun lalu menyebabkan 12 orang terbunuh sebelum ditembak mati beberapa hari kemudian oleh polis di Itali.

Pembunuhan beramai-ramai itu mengingatkan kepada serangan trak pada Julai tahun lalu di Nice, apabila 86 orang terbunuh oleh seorang lelaki dipercayai kumpulan militan Daish.

Menurut perkhidmatan keselamatan Jerman, ada kira-kira 10,000 pelampau Islam di negara ini, dengan 1,600 daripadanya disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:23 AM