ORANG ramai menggunakan hos untuk memadamkan kebakaran akibat serangan tentera Yaman di pelabuhan Hodeida. - Reuters
ORANG ramai menggunakan hos untuk memadamkan kebakaran akibat serangan tentera Yaman di pelabuhan Hodeida. - Reuters
AFP

Khokha (Yaman): Pertempuran sengit bagi menawan sebuah pelabuhan utama yang dikuasai kumpulan Houthi di Yaman meragut lebih 100 nyawa askar serta pemberontak dalam tempoh kurang seminggu, kata sumber perubatan dan tentera kelmarin.

Tentera Yaman semakin mara ke pelabuhan Hodeida di Laut Merah, laluan utama bantuan kemanusiaan untuk 22 juta rakyat negara itu yang sangat memerlukan bekalan makanan dan perubatan.

Pasukan perubatan di Aden berkata, mereka menerima 52 mayat termasuk 20 askar dari Jumaat hingga kelmarin, menjadikan jumlah mangsa yang maut dalam pertempuran sejak Rabu lalu itu kepada 110 orang.

Katanya, baki mayat itu dipercayai anggota pemberontak.

Sumber pasukan tentera prokerajaan memberitahu, pemberontak menyerang hendap satu konvoi tentera di daerah al-Durayhmi di Hodeida.

Tentera prokerajaan yang disokong Arab Saudi dan Emriyah Arab Bersatu pada minggu lalu melancarkan satu operasi untuk memasuki Hodeida dan menawan pelabuhan di bandar itu.

Hodeida terletak kira-kira 230 kilometer dari Sanaa, ibu kota Yaman yang ditawan Houthi pada 2014 yang menyebabkan campur tangan Saudi setahun selepas itu.

Kempen Saudi yang berterusan hingga hari ini bertujuan mengembalikan semula kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa dan kuasa Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Tentera diketuai Saudi menuduh pemberontak menggunakan pelabuhan di Hodeida sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan terhadap kapal di Laut Merah dan untuk menyeludup roket.

Sejak beberapa bulan lalu, kumpulan pemberontak meningkat serangan roket terhadap Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 10:47 AM