PENDUDUK Sanaa mencari tempat selamat selepas serangan udara sebelum gencatan senjata dimulakan, jam 11 malam kelmarin.
PENDUDUK Sanaa mencari tempat selamat selepas serangan udara sebelum gencatan senjata dimulakan, jam 11 malam kelmarin.

Riyadh: Pemberontak Yaman melepaskan tembakan roket ke arah sempadan dengan Arab Saudi semalam pada hari pertama gencatan senjata sementara yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Perkara itu dimaklumkan pegawai kementerian pertahanan Arab Saudi dalam satu kenyataan disiarkan agensi berita Saudi.

“Pada jam 10 pagi (waktu tempatan) semalam, kawasan Najran dan Jazan dibedil roket selain tembakan yang dilepaskan Houthi. Namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Tentera Arab Saudi tidak membalas serangan sebagai menghormati komitmen dinyatakan untuk gencatan senjata kemanusiaan.”

Sejurus sebelum gencatan lima hari itu bermula kira-kira jam 11 malam (waktu tempatan), pakatan tentera diketuai Arab Saudi memberi amaran kepada Houthi bahawa ia akan membalas sebarang serangan kerana dianggap melanggar syarat.

Pakatan tentera mempergiatkan serangan udara dari Jumaat hingga Sabtu selepas pemberontak Houthi melakukan serangan di kawasan itu sempadan yang setakat ini menyebabkan 12 kematian.

Sekurang-kurangnya 12 askar dan pengawal sempadan maut dalam pertempuran di kawasan berkenaan sejak Arab Saudi memulakan serangan udara di Yaman 26 Mac lalu bagi menyokong tentera yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:38 AM