LOKASI tiga mayat ditemui. - AP
LOKASI tiga mayat ditemui. - AP
Daily Mail

Massachusetts (Amerika Syarikat): Mimpi ngeri dialami seorang wanita yang dikurung, diserang secara seksual dan diseksa sebelum disumbat ke dalam bonet kereta berakhir apabila kenderaan dipandu penculik itu berlanggar dengan kereta polis.

Stewart Weldon, 47, yang dikatakan mengurung mangsa selama sebulan, ditahan Ahad lalu selepas merempuh kereta polis dan bergelut dengan anggota di dalam kenderaan itu.

Menurut polis, wanita terbabit diperlakukan dengan kejam apabila turut dipukul menggunakan pelbagai objek lain.

Ketika diselamatkan, mangsa yang mempunyai pelbagai kecederaan teruk dilaporkan berkata: “Terima kasih kerana menyelamatkan nyawa saya. Saya tidak terfikir akan terlepas.”

WELDON -  AP
WELDON - AP

Dia diseksa teruk termasuk ditikam di perut, retak rahang selain pelbagai kecederaan akibat dipukul dengan objek tumpul serta mempunyai jangkitan pada kaki.

Susulan itu, Pendakwa Negeri Anthony Gulluni berkata, polis membongkar penemuan tiga mayat di sebuah rumah di Springfield yang dipercayai didiami Weldon.

Dua mayat ditemui di sekitar kediaman itu pada Rabu lalu, manakala yang ketiga ditemui sehari kemudian.

Gullumi bagaimanapun tidak mendedahkan jantina atau usia mayat berkenaan.

Weldon mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah, Selasa lalu atas pelbagai tuduhan termasuk rogol dan culik.

Bagaimanapun, dia belum dituduh berhubung penemuan mayat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 4:20 AM