BLACKMORE (kanan) dan Bray ketika sidang media di Regina, Saskatchewan. FOTO AP
BLACKMORE (kanan) dan Bray ketika sidang media di Regina, Saskatchewan. FOTO AP
AFP

Ottawa: Polis Kanada melancarkan gerakan memburu dua lelaki selepas dipercayai menikam hingga mati sekurang-kurangnya 10 individu dan mencederakan 15 yang lain di Saskatchewan, dekat sini, pada Ahad.

Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada Rhonda Blackmore ketika sidang media berkata, kedua-dua suspek dikenal pasti sebagai Myles serta Damien Sanderson, masing-masing berusia 30 dan 31 tahun.

Blackmore berkata, pihak berkuasa percaya mangsa yang dibunuh sudah menjadi sasaran suspek, selain ada yang diserang secara rawak membabitkan penduduk James Smith Cree Nation, Weldon dan beberapa lokasi lain.

Katanya, kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan dan polis kini giat memburu mereka.

"Untuk bercakap mengenai motif pembunuhan sangat sukar buat masa ini," katanya.

Penduduk Weldon, Diane Shier memberitahu media tempatan, jirannya seorang lelaki yang tinggal bersama cucu terbunuh dalam serangan itu.

"Saya sangat kecewa kerana saya kehilangan jiran yang baik," katanya kepada Canadian Press.

James Smith Cree Nation, penempatan komuniti terpencil yang didiami 2,500 penduduk diisytiharkan darurat, manakala penduduk wilayah Saskatchewan digesa untuk berlindung di rumah masing-masing bagi mengelak ancaman daripada suspek yang masih bebas.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyifatkan serangan itu mengerikan dan menyayat hati menerusi ciapannya di Twitter dan menggesa penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.

Mengulas mengenai tragedi pembunuhan itu, Blackmore berkata, polis menerima panggilan pada 5.40 pagi mengenai satu kes serangan di James Smith Cree Nation, diikuti lebih banyak panggilan yang melaporkan kejadian sama di 13 lokasi berasingan.

Katanya, beberapa sekatan jalan raya dijalankan di seluruh wilayah itu dan keanggotaan polis yang dikerahkan memburu suspek dimaksimumkan.

Bagaimanapun, selepas polis menerima laporan melihat kelibat dua suspek itu di Regina, bandar yang terletak lebih 300 kilometer (185 batu) ke selatan wilayah itu, amaran dan pencarian suspek diperluaskan ke wilayah jiran Manitoba dan Alberta - wilayah seluas hampir separuh saiz Eropah.

Di Regina, Ketua Polis Evan Bray berkata, pihak berkuasa dalam keadaan bersiap siaga dengan anggota tambahan dikerahkan bertugas ketika peminat bola sepak turun ke bandar untuk menyaksikan perlawanan Liga Bola Sepak Kanada antara Saskatchewan Roughriders dan Winnipeg Blue Bombers.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Kesihatan Saskatchewan memberitahu AFP dalam satu kenyataan, pihaknya sudah mengaktifkan protokol kecemasan untuk merawat pesakit kritikal akibat serangan itu.

Tiga helikopter dihantar dari Saskatoon dan Regina diterbangkan ke lokasi terpencil di bahagian utara wilayah itu untuk membawa doktor ke tempat kejadian dan membantu mangsa tikaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 11:07 AM