Farah Suhaidah Othman

LELAKI warga Myanmar maut ditikam manakala adik lelakinya cedera selepas kedua-dua mereka dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di Jalan Hoover, Pasir Pinji di Ipoh, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, mangsa Khaw Gei Ling, 33 ditemui terbaring di atas jalan raya dengan tiga kesan tikaman di bahagian kiri badan.

Manakala adiknya berusia 30-an cedera di bahagian tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam memaklumkan berlaku satu pergaduhan di kawasan itu.

Katanya, anggota yang tiba kemudiannya mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring dengan kesan darah di badan serta terdapat tompokan darah di atas jalan raya dan pada sebuah motosikal.

"Siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati seorang lagi mangsa yang juga adiknya ditemui satu kilometer (km) dari lokasi kejadian dalam keadaan cedera di tangan kanan.

"Polis turut menemui sarung pisau di lokasi kejadian namun tidak menemui sebarang senjata tajam," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dibawa menggunakan kenderaan polis ke HRPB untuk bedah siasat. FOTO Farah Suhaidah Othman
Mayat mangsa dibawa menggunakan kenderaan polis ke HRPB untuk bedah siasat. FOTO Farah Suhaidah Othman

Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu bukan bermotifkan samun kerana barang peribadi termasuk pengenalan diri dan telefon bimbit berada dengan mangsa.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, kedua-dua mangsa dipercayai pekerja kilang dan polis akan merakam percakapan mangsa yang cedera bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 10:40 AM