BERNAMA

Ipoh: Suspek kes bunuh ibu tunggal di Taman Perpaduan di sini semalam yang cedera dengan beberapa kesan tikaman pada dadanya, kini stabil.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek berumur 23 tahun yang ditempatkan di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini bagaimanapun belum sedarkan diri selepas dibedah kira-kira 3 pagi.

"Pembedahan dilakukan bagi melihat kesan kecederaan pada badannya dan doktor memaklumkan kecederaan dialami suspek adalah tidak serius," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, polis yang ke lokasi kejadian menemukan mayat mangsa K Krishna, 31, dengan beberapa kesan tikaman pada dada bersama suspek berumur 23 tahun yang turut cedera dengan beberapa kesan tikaman pada dadanya dalam keadaan berdarah di dalam rumah itu.

Suspek kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan ditempatkan di zon merah untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Lebih menyayat hati apabila kedua-dua anak lelaki mangsa berusia enam dan lapan tahun turut menyaksikan insiden itu namun sempat melarikan diri untuk mendapatkan bantuan daripada jiran yang kemudiannya menghubungi pihak polis.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 11:22 PM