GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Lelaki Myanmar maut ditikam dengan gunting pemotong dahan pokok oleh rakan senegara di rumah kongsi pekerja ladang di Jalan Renggam-Kluang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan dengan dua kesan tikaman di dada kiri dan satu tikaman di rusuk kanan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, motif pembunuhan dipercayai akibat suspek yang berusia 27 tahun tidak berpuas hati kerana mangsa mempunyai hubungan rapat dengan majikan mereka.

"Mangsa dihantar ke hospital oleh rakan selepas mengalami kecederaan.

"Menurut isteri mangsa, suaminya bertengkar dengan suspek sehingga berlaku pergelutan yang mengakibatkan dia ditikam menggunakan gunting pemotong dahan pokok.

"Polis sedang mengesan suspek utama yang masih bebas bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, susulan itu, dua lelaki berusia 30-an dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Turut dirampas dua telefon bimbit daripada kedua-dua tangkapan ini dan mereka adalah rakan kepada suspek utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 1:15 PM