SAAD al-Hariri bercakap dalam satu wawancara di stesen televisyen Future TV kelmarin. - AFP
SAAD al-Hariri bercakap dalam satu wawancara di stesen televisyen Future TV kelmarin. - AFP

Beirut: Bekas Perdana Menteri Lubnan, Saad al-Hariri semalam berkata, dia akan kembali ke Lubnan dari Arab Saudi dalam tempoh dua atau tiga hari lagi bagi mengesahkan bahawa dia sudah melepaskan jawatan itu.

Dalam satu wawancara di stesen televisyen yang dimilikinya, Saad juga memberi bayangan dia kemungkinan menarik balik keputusan berkenaan.

Pemimpin Islam Sunni paling berpengaruh di Lubnan dan sekutu Arab Saudi itu membuat komen pertama selepas membacakan kenyataan peletakan jawatannya di sebuah stesen televisyen di Riyadh lapan hari lalu.

Saad berkata, Lubnan berisiko dikenakan sekatan ekonomi oleh negara Arab kerana campur tangan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Yaman dan Bahrain.

Hezbollah adalah sebahagian kerajaan campuran yang diketuai Saad.

Saad juga sekali lagi menegaskan bahawa negara itu mesti mengekalkan dasar tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam konflik serantau.

“Saya bebas di sini dan sekiranya saya mahu pulang esok, saya akan pulang. Saya ada keluarga dan menjadi hak saya untuk melindungi mereka,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 12:45 PM