JOKOWI berjalan kaki menuju ke majlis sambutan ulang tahun TNI selepas kenderaannya tersangkut dalam kesesakan jalan raya di Cilegon semalam. - Reuters
JOKOWI berjalan kaki menuju ke majlis sambutan ulang tahun TNI selepas kenderaannya tersangkut dalam kesesakan jalan raya di Cilegon semalam. - Reuters
Reuters

Cilegon, Indonesia: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) semalam menegaskan bahawa angkatan tentera harus menjauhkan diri daripada politik dan memastikan kesetiaan mereka hanya pada negara dan kerajaan.

Ucapan Jokowi pada perarakan sempena ulang tahun ke-72 Tentera Nasional Indonesia (TNI) itu dibuat ketika tindakan kontroversi dan dakwaan cita-cita politik Panglima angkatan tentera, Jeneral Gatot Nurmantyo.

“Tentera Indonesia adalah harta negara yang mengatasi semua kelas, kumpulan dan tidak berpecah akibat kepentingan politik yang sempit serta tidak terjerumus ke dalam arena politik,” kata Jokowi yang duduk di sebelah Gatot.

Jokowi yang juga ketua komander angkatan tentera berkata, kesetiaan kepada negara bermakna setia untuk berjuang demi kepentingan rakyatnya, setia mengekalkan integriti wilayah dan kesatuan republik Indonesia serta setia kepada kerajaan yang sah.

Acara itu yang termasuk anggota tentera turun daripada helikopter menggunakan tali tertangguh selama beberapa minit kerana konvoi Jokowi tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Dalam laman Facebook rasmi Jokowi, pemimpin itu turun dari kereta dan berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke acara berkenaan.

TNI mempunyai peranan besar dalam politik dan masyarakat selama tiga dekad ketika pemerintahan bekas diktator Suharto.

Bekas panglima tentera itu berkuasa selepas mengetuai satu operasi antikomunis pada 1965 yang menyaksikan sekurang-kurangnya 500,000 penyokong komunis dibunuh.

Sejak peralihan kepada demokrasi pada 1998, TNI secara rasmi berundur dari dunia politik tetapi masih mempunyai kedudukan kukuh dalam masyarakat dan bekas jeneral masih berpengaruh dalam politik.

Beberapa penganalisis politik berpendapat Gatot mempunyai cita-cita politik yang jelas dan menuduhnya membantu mencetuskan ketakutan terhadap pengaruh komunis yang disasarkan terhadap Jokowi.

Pada bulan lalu, Gatot mencetuskan kontroversi apabila mendakwa 5,000 senjata diimport secara haram “bagi pihak Jokowi” tetapi tuduhan itu tidak benar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 10:36 AM