GATOT dan Sutiyoso selepas mengangkat sumpah jawatan, semalam.
GATOT dan Sutiyoso selepas mengangkat sumpah jawatan, semalam.

Jakarta: Ketua tentera darat, Gatot Nurmantyo mengangkat sumpah sebagai Panglima Tentera Negara Indonesia (TNI) yang baru semalam bagi menggantikan Jeneral Moeldoko yang bersara.

Pelantikan Gatot melanggar tradisi penggiliran antara tiga cabang tentera, sekali gus meningkatkan kebimbangan berhubung pengaruh tentera darat dalam TNI.

Gatot mengangkat sumpah di hadapan Presiden Joko Widodo (Jokowi) di majlis yang turut dihadiri Moeldoko, yang juga dari tentera darat.

Mengikut giliran, jawatan tertinggi TNI itu sepatutnya diberikan kepada ketua tentera udara dan pelantikan Gatot menunjukkan pengaruh tentera darat semakin meningkat.

Dua dekad lalu, kebanyakan kuasa tentera darat ditarik balik selepas kejatuhan bekas diktator Suharto yang juga bekas jeneral tentera.

“Saya berpendapat adalah lebih baik tradisi penggiliran itu diteruskan,” kata pengerusi kumpulan hak asasi Institut Setara, Hendardi.

Katanya, tentera darat mendapat layanan istimewa daripada Jokowi.

“Jokowi bermain politik dan cuba menutup kelemahannya dengan membina hubungan rapat dengan tentera,” jelasnya.

Dalam majlis itu semalam, bekas jeneral tentera darat, Sutiyoso juga mengangkat sumpah sebagai ketua perisikan Indonesia yang baru.

Pengaruh tentera darat semakin meningkat apabila menandatangani perjanjian dengan kerajaan untuk mengawasi infrastruktur penting dan membantu membanteras penyeludupan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 9:18 AM