JOKOWI (tengah) bersama Gatot (kanan) dan Moeldoko (kiri).
JOKOWI (tengah) bersama Gatot (kanan) dan Moeldoko (kiri).
Reuters

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memilih ketua tentera darat sebagai panglima Tentera Negara Indonesia (TNI) yang baru, sekali gus memecah tradisi penggiliran setiap cabang ketenteraan yang diamalkan sebelum ini.

Berdasarkan giliran, ketua tentera udara sepatutnya dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan panglima TNI, Jeneral Moeldoko dari tentera darat yang bersara pada 1 Ogos ini.

Para penganalisis berpendapat, keputusan Jokowi memilih Jeneral Gatot Nurmantyo akan mengukuhkan dominasi tentera darat dalam TNI dan menyemarakkan lagi dendam dalam cabang angkatan tentera negara itu.

“Sepatutnya ini giliran tentera udara dan keputusan itu pasti menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati,” kata penganalisis pertahanan, Yohanes Suleiman.

Sementara itu, jurucakap presiden, Teten Masduki mempertahankan pemilihan itu dan berkata, tradisi itu tidak semestinya diikuti.

Katanya, nama Gatot diserahkan kepada Parlimen kelmarin untuk kelulusan.

“Presiden mempunyai kuasa melantik panglima TNI dengan kelulusan Parlimen.

“Jokowi memilih Gatot kerana percaya beliau boleh menguatkan TNI dalam menghadapi perubahan geo-politik dan geo-strategik serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan mengekalkan penguasaan tentera darat itu dibuat ketika kerajaan membenarkan pasukan itu terbabit dalam hal ehwal awam seperti operasi antipengganas dan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:28 AM