Jeneral Gatot Nurmantyo (kiri) akan diganti Marshal Udara Hadi Tjahjanto. - Foto Agesi
Jeneral Gatot Nurmantyo (kiri) akan diganti Marshal Udara Hadi Tjahjanto. - Foto Agesi
Reuters

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo (Jokowi) secara rasmi mengemukakan nama Ketua Turus Angkatan Udara, Marshal Udara Hadi Tjahjanto, sebagai calon panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang baru bagi menggantikan Jeneral Gatot Nurmantyo yang bakal bersara.

Jurucakap presiden, Johan Budi, berkata cadangan pelantikan itu sudah dihantar ke Parlimen untuk diluluskan.

Dalam surat kepada Parlimen, Jokowi memberitahu Gatot akan bersara secara terhormat dan mencalonkan Hadi sebagai penggantinya.

Hadi mempunyai hubungan rapat dengan Jokowi sejak beliau menjadi ketua pangkalan udara di Solo dengan Jokowi menjadi datuk bandar.

Beliau pantas dinaikkan pangkat, termasuk menjadi pegawai kanan kementerian pertahanan serta setiausaha ketenteraan presiden.

Gatot yang akan melepaskan jawatannya pada April, beberapa kali mencetuskan kontroversi yang dianggap sebagai cita-cita politiknya.

Oktober lalu, Jokowi menyatakan tentera tidak wajar terbabit dalam politik bagi memastikan ia setia hanya kepada negara dan kerajaan - kenyataan yang dipercayai ditujukan kepada Gatot.

Ada spekulasi Gatot mahu bertanding jawatan naib presiden atau presiden pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 7:00 PM