Surakarta: Datuk Bandar Surakarta, FX Hadi Rudyatmo melarang tetamu membawa beg ketika datang ke pejabat dan kediamannya bagi mengelak ditawarkan rasuah.

Larangan itu dibuat susulan beberapa pemimpin tempatan yang ditangkap atas tuduhan menerima rasuah.

“Saya perlu berjaga-jaga. Ada pihak mungkin cuba memerangkap saya dengan menawarkan wang yang tidak pernah saya pinta,” katanya yang dipetik Jakarta Post.

Menurutnya, Datuk Bandar Batu, Eddy Rumpoko di Jawa Timur yang ditangkap kerana rasuah baru-baru ini adalah satu pengajaran kepada semua pemimpin dan ahli keluarga mereka.

Eddy dituduh menerima rasuah berjumlah Rp200 juta (RM62,647) daripada seorang ahli perniagaan.

“Jabatan undang-undang kini membuat pekeliling mengenai larangan membawa beg di semua pejabat pentadbiran.

“Langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko penjawat awam dirasuah,” jelasnya.

Bangunan pentadbiran Surakarta kini menyediakan loker di mana orang ramai boleh meninggalkan beg mereka sebelum masuk ke pejabat Hadi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 10:03 AM