Roket boleh dilihat berterbangan di udara. - Foto AFP
Roket boleh dilihat berterbangan di udara. - Foto AFP
Keadaan api yang menjulang akibat kebakaran depoh simpanan senjata tentera Ukraine di Vinnytsya. - Foto RUTERS
Keadaan api yang menjulang akibat kebakaran depoh simpanan senjata tentera Ukraine di Vinnytsya. - Foto RUTERS
Agensi

LEBIH 30,000 penduduk di wilayah Vinnytsya, Ukraine, dipindahkan berikutan kebakaran besar depoh simpanan senjata tentera berserta letupan yang disyaki pihak berkuasa akibat sabotaj, hari ini.

Api menjulang tinggi dalam kebakaran depoh senjata di Kalinovka itu yang menyimpan peluru meriam dan senjata ringan dengan beberapa roket dilihat berterbangan.

Sekurang-kurangnya dua wanita yang tinggal berhampiran dirawat di hospital akibat terkena serpihan peluru dan lebih 1,000 anggota bomba bersama pengawal kebangsaan berusaha mengawal kebakaran.

Depoh itu ialah yang terbesar di Ukraine dan AFP melaporkan, menurut kenyataan tentera di Facebook, kebakaran bermula pada 10 malam waktu tempatan.

Jurucakap polis, Yaroslav Trakalo, memberitahu portal berita Pravda, lebih 30,000 orang di sekitar kem tentera itu dipindahkan selain 180 pesakit sebuah hospital berhampiran.

Media tempatan melaporkan ada pegawai kanan kerajaan Ukraine mendakwa kebakaran itu berkemungkinan akibat bom yang digugurkan dari dron.

Bagaimanapun, Russia dan pasukan pemberontak sokongannya menafikan dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 6:52 PM