FOTO Ihsan MetMalaysia via BERNAMA
FOTO Ihsan MetMalaysia via BERNAMA
Bernama-Xinhua

Manila: Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina mengemaskini kekuatan gempa bumi di luar pesisir yang melanda wilayah Sultan Kudarat, selatan Filipina daripada 6.5 kepada 7.1 pada skala Richter.

Dalam laporan terkini, gempa bumi yang berlaku pada 10:13 pagi waktu tempatan Khamis direkodkan pada kedalaman 722 kilometer, kira-kira 133 kilometer barat daya Palimbang.

Gegaran turut dirasai di wilayah-wilayah berhampiran di Mindanao termasuk Davao Occidental, Davao Oriental, Sarangani, Davao de Oro, Davao del Norte dan Cotabato.

Gempa tektonik itu dijangka menyebabkan gegaran susulan namun tidak akan menyebabkan kerosakan mahupun tsunami, menurut institut itu.

Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia melaporkan gempa bumi berukuran 5.8 pada skala Richter melanda wilayah barat Bengkulu pada malam Rabu, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 2:04 PM