Api kebakaran depoh peluru tentera di  Pulgaon, India, boleh dilihat sejauh beberapa kilometer. - Foto Agensi
Api kebakaran depoh peluru tentera di Pulgaon, India, boleh dilihat sejauh beberapa kilometer. - Foto Agensi
AFP

Mumbai: Sekurang-kurangnya 17 tentera India terbunuh manakala ramai lagi cedera akibat kebakaran depoh senjata terbesar tentera di Pulgaon, tengah India, hari ini.

Rakaman video menunjukkan api menjulang tinggi akibat kebakaran depoh menyimpan bom, bom tangan dan peluru itu memaksa ribuan penduduk berhampiran dipindahkan.

“Setakat ini 17 orang disahkan mati, 19 lagi cedera tetapi tidak kritikal,” kata Ketua Polis Daerah Wardha, Smita Patil.

Menurut laporan media India, dua yang terbunuh ialah pegawai manakala 15 lagi anggota Pasukan Keselamatan Pertahanan yang mengawal kemudahan tentera.

Bomba yang menggunakan 10 jentera bekerja keras sejak malam tadi bagi mengawal kebakaran yang bermula pada 1.30 pagi waktu tempatan sebelum api berjaya dikawal pada 6.15 pagi.

Menurut Pengarang Bersekutu majalah Indian Defence Review, Kolonel Danveer Singh, depoh itu yang yang terbesar di India membekalkan peluru kepada tentera, tentera laut dan tentera udara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 6:27 PM