KUMPULAN Exist.
KUMPULAN Exist.
Norhayati Nordin


Serdang: Bukan saja impian Exists dan Ungu mahu bergabung di atas satu pentas terlaksana, namun menariknya dapat juga menyatukan peminat mereka sempena Konsert Hari Peneroka Felda (HPF) 2024, malam Ahad ini.

Persembahan dijangka bermula jam 9 malam membabitkan dua figura muzik terkenal dari Malaysia dan negara jiran Indonesia berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini.

Vokalis Ungu, Pasha yang pernah ditemui media tempatan memberitahu, mereka sudah lama menyimpan impian untuk beraksi sepentas dengan Exists yang sudah lama diidolakan Ungu sejak era 1990-an dulu.

"Sekiranya ada peluang memang kita (Ungu) mahu menyanyi sepentas dengan Exists kerana kita juga sama-sama seangkatan membina karier seni pada sekitar tahun 1990-an.

"Ini kerana, banyak juga lagu Exists yang popular di Indonesia sampai sekarang dan kita sejujurnya juga mengidolakan Exists," katanya turut mengenali kumpulan muzik lain di negara ini seperti Search dan Slam.

Tidak hanya Exists dan Ungu, persembahan pada acara konsert sempena HPF itu turut disertai dua penyanyi solo lain yang juga 'anak Felda' berjaya iaitu Asmawi Ani atau Mawi dan Siti Nordiana Alias (Nana) pada malam Sabtu menerusi Konsert Kemuncak Juara Feel Da Starz bertempat di Boulevard, Maeps.

Nana berkata, dia amat berbesar hati dapat terbabit dalam konsert sempena HPF itu kerana cukup dekat dihatinya sebagai anak Felda yang membesar di Sendayan, Negeri Sembilan.

"Membesar di Felda ketika kecil dulu cukup memberikan banyak memori indah untuk saya ingat sampai sekarang dan tak akan sesekali melupakannya. Saya bangga menjadi anak Felda.

"Sebenarnya, dah ramai juga daripada anak Felda sudah berjaya dan mempunyai jawatan tinggi dalam syarikat-syarikat korporat sekarang. Justeru, sebagai anak peneroka Felda itu, tiada apa yang nak dimalukan," katanya.

Selain Nana, seorang lagi anak Felda dari Taib Andak, Johor iaitu Mawi juga dikenali ramai dan pernah mencetus fenomena 'Tsumawi' dan 'Mawi World' pada 2005 ketika merangkul juara Akademi Fantasia 3 (AF3).

Difahamkan konsert sempena HPF ini akan berlangsung lebih tiga jam dengan rangkaian lagu-lagu terbaik dipersembahkan untuk tontonan penonton yang hadir menyaksikannya dengan kemasukan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 2:16 PM