Pegawai SPRM membawa pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang terpalit dengan isu dakwaan menyeleweng kutipan derma untuk direman di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Pegawai SPRM membawa pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang terpalit dengan isu dakwaan menyeleweng kutipan derma untuk direman di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Suraya Roslan


Putrajaya: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang tular berhubung kes derma awam direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Turut direman, dua lagi lelaki iaitu pengarah dan pemegang saham terbesar platform kutipan derma berkait kes yang sama.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah terhadap pasangan yang mencipta kontroversi berhubung masalah rumah tangga itu, selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya yang berusia 26 tahun dilihat memakai baju lokap berwarna oren kelihatan tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media ketika dibawa ke mahkamah pada 9.19 pagi dalam keadaan bergari.

Sementara itu, peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili pasangan itu berkata, pihak SPRM membuat permohonan reman selama tujuh hari namun mahkamah membenar perintah tahanan sehingga Ahad ini.

Menurutnya, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Katanya, seksyen itu menyentuh kes bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu, melakukan suatu kesalahan.

"Dua anak guam saya ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, sebaliknya kes salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 (1) akta itu.

"Oleh itu, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan seksyen yang dipohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam," katanya yang turut disertai peguam, Abi Mursyidin Awal dan Fithril Hakim Ab Jalil.

Semalam, media melaporkan pasangan suami isteri itu ditahan SPRM pada 6.40 petang bagi membantu siasatan selepas didakwa membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit namun wang itu tidak disalurkan secara betul.

Sebelum ini, pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pasangan suami isteri itu turut menegaskan dia dan suami tidak pernah menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 1:56 PM