GAMBAR hiasan, penurunan pengeluaran garam dalam negara menjadi faktor kekurangan komoditi itu di Indonesia. - Antara
GAMBAR hiasan, penurunan pengeluaran garam dalam negara menjadi faktor kekurangan komoditi itu di Indonesia. - Antara
Agensi

Jakarta: Kerajaan Indonesia melantik sebuah syarikat untuk mengimport sebanyak 75,000 tan garam bagi mengatasi masalah kekurangan komoditi itu.

Ketua Pengarah Dagangan Luar Negara, Oke Nurwan berkata, syarikat PT Garam diarah mengimport lebih banyak garam selepas harga komoditi itu meningkat dua kali ganda.

“Kami lantik PT Garam mengimport 75,000 tan garam selepas pelbagai pertimbangan dan perbincangan dengan Kementerian Laut dan Perikanan mengenai pengeluaran garam dalam negara,” katanya semalam.

Seorang pegawai di Kementerian Laut dan Perikanan, Agus Dermawan memberitahu, langkah itu diambil selepas berlakunya kekurangan garam di pasaran dan penurunan pengeluaran pada Mei hingga Julai.

“Kami berharap dengan langkah ini, apabila tiba bulan Ogos keadaan akan kembali normal,” jelasnya.

Sebelum ini, beberapa bandar termasuk Mojokerto dan Jatim kekurangan bekalan garam masakan.

Keadaan itu menyebabkan ada pemborong mengambil kesempatan dengan menaikkan harga garam sehingga dua kali ganda.

Peniaga di pasar Tanjung Anyar di Kota Mojokerto, Khusnul Fauziah berkata, harga garam meningkat sejak sebulan lalu selepas bekalan semakin berkurangan.

“Biasanya sebungkus garam kecil berharga Rp1,000 (RM0.30) tetapi kini harganya sudah mencecah Rp2,000 (RM0.60) di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 2:52 AM