ASAP menjulang ke angkasa dari sebuah bangunan yang terbakar selepas dibom sebuah pesawat tentera Filipina di Marawi baru-baru ini. - AFP
ASAP menjulang ke angkasa dari sebuah bangunan yang terbakar selepas dibom sebuah pesawat tentera Filipina di Marawi baru-baru ini. - AFP

Marawi: Dua askar maut dan 11 lagi cedera di Marawi selepas sebuah jet tentera tersilap menggugurkan bom di kedudukan askar yang bertempur dengan militan di bandar itu, kata tentera semalam.

Jurucakap tentera, Restituto Padilla berkata, kejadian kelmarin adalah yang kedua askar negara itu terbunuh oleh serangan tentera udara sejak pertempuran di Marawi tercetus dua bulan lalu.

Katanya, tentera meminta bantuan serangan udara tengah hari kelmarin untuk mengebom sebuah bangunan tempat militan dipercayai bersembunyi.

Bagaimanapun, satu daripada empat bom yang digugurkan jet FA-50 tersasar dan terkena sebuah bangunan yang diduduki sekumpulan askar.

“Letupan itu menyebabkan sebahagian bangunan runtuh dan menimpa askar berkenaan mengakibatkan dua terbunuh dan 11 lagi cedera,” katanya.

Menurutnya, pertempuran di Marawi yang masuk hari ke 52 semalam sudah meragut 92 nyawa askar dan polis, 392 militan dan 45 orang awam.

Sementara itu, tentera Filipina yang bertempur dengan komunis di selatan negara itu menyebabkan lapan militan maut dan seorang askar cedera.

Jurucakap tentera, Alexandre Cabales berkata, pertempuran tercetus apabila sekumpulan askar yang membuat rondaan bertembung dengan 40 gerila Tentera Rakyat Baru di selatan Lembah Compostela.

Anggota pemberontak kemudian melarikan diri meninggalkan mayat lapan rakan mereka dan enam senjata berat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:21 AM