Agensi

Marawi: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi jaminan untuk melindungi askar daripada sebarang tindakan undang-undang sekiranya mereka secara tidak sengaja membunuh orang awam ketika memerangi militan di Marawi.

Duterte mengarahkan tentera memusnahkan pemberontak Maute yang dibantu militan Daish yang menawan bandar di selatan Filipina itu sejak 23 Mei lalu.

Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen kelmarin, Duterte memberitahu askar supaya tidak teragak-agak untuk menembak mati sesiapa ketika pertempuran.

Menurutnya, orang awam sepatutnya melarikan diri atau mencari perlindungan ketika pertempuran tercetus.

Duterte memberi jaminan untuk berusaha menghalang askar daripada dihukum penjara kerana secara tidak sengaja menembak orang awam.

“Arahan saya kepada kamu (askar), sekiranya dia membawa senjata, dia bukan askar dan bukan polis. Terus bunuhnya.

“Kalau kamu tidak membunuhnya, dia akan membunuh kita,” katanya.

Duterte mengisytiharkan darurat di selatan Filipina selepas beratus-ratus militan menyerang Marawi dan menjadikan orang awam termasuk seorang paderi sebagai tebusan.

Selepas bertempur selama 37 hari, tentera Filipina masih berusaha menawan semula kawasan tengah bandar yang masih dikuasai militan.

Kelmarin, tentera menemui 17 mayat orang awam termasuk lima yang dipenggal dipercayai dibunuh militan.

Jumlah itu menjadikan angka korban orang awam dalam konflik berkenaan meningkat kepada 44 orang.

Tentera memberitahu, sekurang-kurangnya 299 militan dan 71 askar termasuk polis terbunuh sepanjang pertempuran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 9:13 AM