PULUHAN penunggang motosikal memenuhi salah satu jalan raya di Hanoi. - AFP
PULUHAN penunggang motosikal memenuhi salah satu jalan raya di Hanoi. - AFP
AFP

Hanoi: Pihak berkuasa ibu negara Vietnam ini semalam mengumumkan mahu mengharamkan sepenuhnya motosikal menjelang 2030 untuk mengurangkan masalah alam sekitar serta kesesakan.

Keputusan itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan penduduk yang sebahagian besar menggunakan kenderaan itu sebagai pengangkutan utama.

Hanoi terkenal dengan jutaan motosikal di jalan rayanya - ada kalanya dinaiki seluruh keluarga atau dimuatkan dengan barangan untuk dihantar - mengakibatkan kesesakan teruk di bandar itu yang juga kekurangan pengangkutan awam itu.

Ada lima juta motosikal dengan populasi penduduk seramai kira-kira tujuh juta orang, berbanding cuma setengah juta kereta di bandar itu.

Keputusan mengharamkan motosikal menjelang 2030 diluluskan 95 daripada 96 pegawai majlis bandar raya itu ketika satu mesyuarat, semalam.

Menurut laman web kerajaan tempatan, jumlah motosikal meningkat pada tahap yang ‘membimbangkan.’

Susulan itu, pihak berkuasa akan menambah pengangkutan awam untuk memudahkan orang ramai mengurangkan kebergantungan kepada motosikal.

Hanoi tiada sistem kereta api metro, cuma bas awam yang mampu memenuhi hanya 12 peratus keperluan pengangkutan penduduknya.

Susulan pengumuman semalam, pihak berkuasa berkata, mereka mahu meningkatkan jumlah pengangkutan awam kepada kira-kira 50 peratus menjelang 2030.

Pembinaan kereta api komuter sudah berulang kali ditangguhkan tetapi kini dilapor akan dimulakan tahun depan.

Jumlah motosikal berdaftar di Vietnam antara yang tertinggi di Asia Tenggara dan pihak berkuasa sudah lama menimbang untuk mengharamkan penggunaannya dalam usaha memodenkan bandar itu seperti Seoul atau Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 9:46 AM