KESESAKAN jalan raya   berterusan malahan semakin teruk sedangkan kerajaan    mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkannya.
KESESAKAN jalan raya berterusan malahan semakin teruk sedangkan kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkannya.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hampir 10 tahun menjadi warga kota, mengharungi kesesakan jalan raya bagaikan 'alah bisa tegal biasa' bagi Salina Ahmad, 42, terutamanya pada waktu puncak.

Cuma yang menghairankan anak kelahiran Alor Setar, Kedah, yang bekerja dalam sektor perbankan ini, mengapa kesesakan itu berterusan dan semakin teruk sedangkan kerajaan dilaporkan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkannya.

Berdasarkan data daripada pakar pemetaan TomTom, jalan raya lebih sesak berbanding sebelum Pandemik Covid-19 memandangkan sekatan pergerakan ditarik balik dan pekerja sudah mula dikehendaki kembali ke pejabat.

Bukan sahaja kesesakan jalan raya yang menjadi kebimbangan Salina, hujan lebat atau musim tengkujuh juga menambah kerisauan kerana sering berlaku banjir kilat. Keadaan ini boleh memburukkan kesesakan pada waktu puncak ditambah risiko pokok tumbang ketika hujan lebat dan ribut. Keadaan berbahaya ini adalah antara cabaran utama bagi warga kota Kuala Lumpur seperti Salina.

"Meskipun kita mempunyai data masa nyata untuk laporan terkini trafik serta maklumat bencana dari aplikasi mobile pihak berkuasa tempatan atau yang dipaparkan di papan iklan, ianya masih tidak mencukupi. Masalah masih berlarutan, dan kita terus berdepan dengan isu yang sama setiap hari.

"Cakap fasal pengangkutan awam, tak pernah tepat. Kadang-kadang nampak ikon bas di peta, tetapi ia tak tiba tepat pada masanya. Jadi, walaupun ada aplikasi mobile yang bagus memberikan data yang terkini, nampaknya banyak aspek yang masih perlu penambahbaikan," katanya.

Ketika majoriti rakyat Malaysia menikmati manfaat inovasi digital yang memudahkan kehidupan mereka, semakin banyak usaha dilakukan untuk menggunakan teknologi bagi menyelesaikan cabaran bandar serta merealisasikan konsep bandar pintar.

Pada April 2021, Blueprint Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) dilancarkan bertujuan merangka dan memandu arah dalam perancangan dan pembangunan bandar pintar melalui penerapan teknologi digital di Wilayah Persekutuan. Ia juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Inisiatif berkenaan melengkapkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (MSCF), dengan sasaran mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta menukar negara ini menjadi negara mampan menjelang tahun 2030. SDG yang juga dikenali sebagai Matlamat Global diterimapakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015 sebagai gesaan universal untuk bertindak menghapuskan kemiskinan, melindungi planet dan memastikan semua orang menikmati keamanan serta kemakmuran menjelang tahun 2030.

Warga kota Kuala Lumpur pada masa ini dengan maklumat di hujung jari serta pembangunan pesat teknologi dengan mudah mampu mendapatkan data sama ada untuk memudahkan perjalanan, bencana, kesihatan mahu pun berita terkini.

Urbanisasi lazimnya mencetuskan pelbagai cabaran termasuk kesesakan, kekurangan bekalan air, kekurangan perkhidmatan awam, jurang kehidupan, keselamatan serta isu lain yang memerlukan infrastruktur yang lebih baik bagi menampung pembesaran mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 6:32 AM