Salman Abedi yang melakukan serangan bom nekad di Arena Manchester menyebabkan 22 terbunuh. - Foto Daily Mail
Salman Abedi yang melakukan serangan bom nekad di Arena Manchester menyebabkan 22 terbunuh. - Foto Daily Mail
Agensi

LELAKI yang meletupkan bom di Manchester menyebabkan 22 maut yang baru pulang dari negara asalnya, Libya, dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan dia berkemungkinan turut mengunjungi Syria.

Reuters melaporkan, Menteri Dalam Negeri Britain, Amber Rudd, berkata lelaki itu, Salman Abedi, 22, yang berkemungkinan besar tidak melakukan serangan itu seorang diri, dipercayai dibekalkan bom yang digunakan oleh seseorang.

Polis melakukan tiga lagi penahanan di selatan Manchester hari ini, namun tidak menyatakan siapa ditahan. Semalam, seorang lelaki, dipercayai abang Salman ditahan.

Menurut Daily Mail, Salman menaiki kereta api dari London ke Manchester Isnin lalu, sebelum konsert penyanyi pop Amerika Syarikat, Ariana Grande, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki dia menemui seseorang yang mungkin membekalkan bom untuk serangan itu.

Antara tiga mangsa maut yang dikenal pasti iaitu pasangan suami isteri Marcin dan Angelika Klis dari Poland; Olivia Campbell, 15, dan Kelly Brewster yang menggunakan tubuhnya untuk melindungi anak saudaranya. - Foto Daily Mail
Antara tiga mangsa maut yang dikenal pasti iaitu pasangan suami isteri Marcin dan Angelika Klis dari Poland; Olivia Campbell, 15, dan Kelly Brewster yang menggunakan tubuhnya untuk melindungi anak saudaranya. - Foto Daily Mail

Imam Masjid Didsbury, Mohammed Saeed, berkata Salman yang tidak menamatkan pengajiannya di universiti, tidak lagi datang ke masjid pada 2015 selepas kerana tidak senang dengan komen anti-IS.

“Sebelum itu Salman ada juga datang ke masjid. Dia tidak begitu rapat dengan saya kerana tidak suka dengan khutbah anti-IS saya.

“Selepas itu dia semakin jarang datang ke masjid sebelum terus tidak datang,” katanya.

Kerajaan Britain menggerakkan 3,800 tentera bagi mengawal lokasi penting di seluruh negara itu, termasuk Istana Buckingham dan Downing Street.

Mangsa maut yang sudah dikenal pasti setakat ini ialah murid perempuan berusia lapan tahun, dua wanita, pasangan suami isteri dari Poland dan seorang wanita yang melindungi anak saudaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 8:17 PM