VANESSA bersama ibu dan bapanya.
VANESSA bersama ibu dan bapanya.
Redzuan Muharam


Meskipun masih hijau dalam bidang peragaan, Vanessa Cruez, 23, sudah membuktikan kemampuan menerusi kejayaan mendapat tempat keempat dan gelaran Miss Fitness Asia serta Miss Perfect 10 dalam pertandingan Miss Asia 2017 di India, baru-baru ini.

Pencapaian itu bukan saja membanggakan negara malah bukti Vanessa berpotensi pergi lebih jauh dan menjadi pelapis peragawati senior.

Bercerita lanjut, Vanessa berkata, peluang mewakili negara dalam pertandingan itu cukup bermakna buat pendatang baru sepertinya yang sudah lama mengharapkan platform untuk menonjolkan bakat di pentas antarabangsa.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk terbabit dalam bidang peragaan kerana ketika di sekolah, pelajaran sentiasa menjadi keutamaan.

“Namun, segalanya berubah selepas berpeluang menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik di dalam negara.

“Bukan kerana inginkan kemenangan tetapi penyertaan dalam pertandingan berkenaan lebih kepada minat dan cara saya untuk meningkatkan keyakinan diri,” katanya yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Teknologi Makanan di Management & Science University (MSU) Shah Alam.

Menurut Vanessa, walaupun berpengalaman menyertai beberapa pertandingan serupa sebelum ini, perasaan gementar tetap ada lebih-lebih lagi apabila menjadi peserta tunggal negara.

Katanya, bagaimanapun, kebimbangannya hilang apabila bertemu peserta negara lain.

“Saya ke sana sendirian tanpa ditemani keluarga mahupun teman rapat jadi mahu tidak mahu, mental perlu kuat untuk berdepan peserta negara lain yang mempunyai kelebihan tersendiri.

“Ketika itu, tiada apa yang saya fikirkan melainkan fokus dan cuba menjaga nama baik negara dengan mengikut jadual diatur penganjur.

“Mujurlah kemenangan berpihak kepada saya dan paling terharu apabila mendapat sorakan daripada penduduk di India walaupun mereka tidak mengenali saya,” katanya yang turut berpengalaman mengacarakan rancangan di sebuah syarikat televisyen berbayar.

Ditanya mengenai perancangannya pada masa depan, Vanessa berkata, menjadi impiannya untuk mencari lebih ramai pelapis bidang peragaan di negara ini menerusi syarikat produksi pencarian bakat yang sedang diusahakan bersama rakan baiknya.

Katanya, dia berharap perancangannya dipermudahkan supaya lebih ramai anak muda di negara ini yang berpeluang untuk menonjolkan bakat di peringkat lebih tinggi.

“Syarikat itu dibuka awal tahun lalu dan ia usaha melahirkan lebih ramai bakat baru dalam bidang peragaan khasnya remaja.

“Selain itu, kewujudan syarikat itu juga diharap menjadi pelaburan saya untuk jangka masa panjang dan cara mengukuhkan nama dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 4:30 AM