SOKONGAN keluarga Aqma ketika pertandingan akhir KWC Model Search 2023. FOTO  Aswadi Alias
SOKONGAN keluarga Aqma ketika pertandingan akhir KWC Model Search 2023. FOTO Aswadi Alias
Nurul Husna Mahmud


DUNIA peragaan selalu digambarkan dengan industri yang hanya memandang wanita memiliki susuk tubuh yang tinggi lampai dan seksi supaya mampu 'memaku' perhatian penonton.

Tanggapan itu ditepis Nur Izatul Aqma Ludin, 21, apabila melihat pembawaan individu dalam menjenamakan diri jauh lebih penting dalam industri terbabit.

Kata Nur Izatul Aqma yang lebih mesra disapa Aqma, persaingan dalam industri peragaan kini sangat kompetitif.

Selain kemunculan muka dan bakat baru, dia juga perlu bersaing rapat dengan pempengaruh serta selebriti yang turut menempatkan diri dalam industri peragaan.

"Menjadi model atau individu yang memperagakan baju atau aksesori fesyen bukan hanya melihat wanita cantik dan tinggi lampai semata-mata.

"Saya lihat peranan model yang memperagakan produk perlu memahami tugasan yang diberikan klien sama ada tonjolkan jenama atau produk.

"Sebenarnya model itu boleh jadi istimewa jika mereka ada personaliti atau karakter cemerlang ketika di pentas peragaan atau depan kamera.

"Itu juga adalah skil dan kebijaksanaan model itu sendiri apabila mereka dapat melaksanakan tugasan diberikan klien dengan baik," katanya.

Atas faktor itu, Aqma menyifatkan pertandingan pencarian model atau bakat peragaan seperti yang dimenangi baru-baru ini sebagai platform penting dapat mengasah skil yang diperlukan.

"Dalam bidang peragaan baik di pentas atau di depan kamera, kedua-duanya adalah bidang saya ceburi dan perlukan kemahiran.

"Saya kerap pelajari daripada model yang lebih pengalaman atau krew yang sudah biasa bekerja dalam industri. Mereka adalah guru terbaik sepanjang berada dalam industri.

AQMA bersama peserta pertandingan akhir KWC Model Search 2023 baru-baru ini.
AQMA bersama peserta pertandingan akhir KWC Model Search 2023 baru-baru ini.

"Contohnya dalam pertandingan KWC Model Search 2023 ini, saya pelajari cara mengacara program atau bercakap di khalayak ramai dengan salah seorang peserta lain iaitu Asma Ashmira atau Mirawhoo.

"Saya perlu melepasi cabaran membuat kandungan video untuk dipaparkan dalam media sosial sebagai salah satu tugasan dalam cabaran terbabit," katanya.

Aqma perlu mengharungi saringan sejak November lalu, bermula sesi uji bakat membabitkan 40 peserta sehinggalah bersaing rapat dengan tiga peserta lain iaitu Nor Shara Adnan, Dewi Yasmin dan Asma Ashmira di pentas akhir pertandingan yang berlangsung di KWC Fashion Wholesale di Kuala Lumpur.

Menyentuh pencapaian dalam industri, kata Aqma, dia bersyukur walaupun penampilan berhijab, dia masih berpeluang untuk tampil peraga klien ternama tempatan.

TIDAK kekok membuat perbentangan.
TIDAK kekok membuat perbentangan.

"Saya gembira apabila klien seperti masih sudi menawarkan peluang memperagakan barangan mereka.

"Mereka menghargai bakat saya sebagai anak muda tempatan yang menceburi dunia glamor ini.

"Saya juga terinspirasi apabila mengenakan baju pereka ternama kerana impian saya adalah pereka fesyen.

"Pembabitan dalam bidang peragaan relevan dengan perancangan saya untuk menjadi pereka fesyen," katanya yang juga peminat fesyen oriental dan gaya elegan vintaj seperti Versace.

Aqma juga mengakui pilihan kerjayanya itu mendapat sokongan keluarga.

WENDY ketika menyampaikan replika cek kemenangan kepada Aqma.
WENDY ketika menyampaikan replika cek kemenangan kepada Aqma.

"Ibu bapa dan abang banyak memberi dorongan kepada saya sepanjang dalam bidang peragaan. Pergilah jauh mana pun, mereka setia temani saya.

"Tambahan pula bidang peragaan memiliki 'circle' gelap tersendiri kerana mudah 'hanyut' dengan pengaruh kawan. Ada suka berpesta, ikut menari di kelab malam atau sebagainya.

"Saya tidak minat ke arah gejala sosial yang negatif. Saya suka berkawan tetapi berpada-pada," katanya.

Aqma menyarankan bagi anak muda yang berminat dalam bidang peragaan perlu lengkapkan persiapan dengan pelbagai kemahiran supaya lebih 'up to date' dengan trend semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 7:00 AM