PLATFORM Dota2onthego di Instagram.
PLATFORM Dota2onthego di Instagram.
BERSAMA bekas ahli DC, Roman Fominok di ESL One Genting 2017.
BERSAMA bekas ahli DC, Roman Fominok di ESL One Genting 2017.
BERSAMA SirActionSlacks di ESL One Genting 2017.
BERSAMA SirActionSlacks di ESL One Genting 2017.
Hazril Md Nor


Melihat populariti dan setiap penganjuran acara dalam permainan Dota 2 keluaran Valve membuka mata banyak pihak terutama anak muda yang menggilai permainan ini.

Daripada perspektif anak muda, kerjaya dalam Dota 2 dilihat cerah. Mana tidaknya, kebanyakan pemain profesional yang mendominasi arena permainan ini berusia seawal 17 tahun hinggalah 30 tahun dan mereka sudah menempa nama di peringkat dunia.

Bagaimanapun, dunia e-sukan itu luas dan tidak semestinya bakat seseorang perlu dinilai dari segi permainannya saja. Kerjaya seperti penganalisis, wartawan lokasi, hos dan pengulas turut dipandang tinggi oleh sesetengah pihak.

Partibhan Petchayappen, 24, antara anak muda yang tergolong dalam kelompok itu. Melihat kepada potensi Instagram untuk dijadikan platform berita segera, padat dan ringkas, dia mula mewujudkan akaun di laman sosial itu.

Diberi nama @dota2onthego, ia memfokuskan kandungan video dan visual menarik yang disunting sesuai dengan permintaan peminat. Bagaimanapun, kata Partibhan, permulaannya bukanlah mudah.

“Dota 2 mungkin popular namun kandungan video menarik banyak didapati di YouTube dan bukannya media sosial lain. Oleh itu, saya terpanggil untuk gunakan platform Instagram bagi menyampaikan video ringkas.

“Bayangkan tempoh suntingan mengambil masa selama satu hingga dua jam untuk satu video dan pada masa itu pengikut pun hanya 10 orang. Yang baca ‘post’ itu pun tidaklah ramai, hanya 10 hingga 20 orang. Ada masanya saya memang putus asa untuk teruskan,” katanya.

PELUANG DI GOSU GAMERS

Didorong minat dan kreativitinya menggunakan perisian video, Partibhan meneruskan usaha untuk terus menyunting dan menghasilkan video yang lebih menarik.

“Saya mula perasan pengikut bertambah apabila memuat naik video berkaitan kejohanan besar seperti Major. Malah, penggunaan pelbagai hashtag Dota 2 turut membantu video saya tular di laman sosial itu.

“Selepas beberapa lama, bekas pengarang GosuGamers Khor Wei Soon nampak potensi pada @dota2onthego dan merekrut saya sebagai pengarang di laman web GosuGamers,” katanya.

Partibhan berkata, dia banyak mempelajari selok-belok dunia Dota 2 dan pada masa sama mempertingkatkan kemahirannya dalam bidang penulisan artikel berkaitan e-sukan.

“Sebagai seorang penulis yang masih baru di Gosu, saya banyak belajar dan bersifat terbuka. Saya juga berpeluang reviu beberapa ‘game’ dan pertandingan Dota 2. Tapi selepas beberapa bulan, saya rasa rindu untuk menyunting video dan kembali aktif di Instagram,” katanya.

LEBIH 50,000 PENGIKUT

Selama dua tahun mengendalikan Instagram @dota2onthego, dia berjaya mengumpul 52,800 pengikut di sekitar rantau Asia Tenggara. Lebih menarik, laman sosial itu dikelolakan sepenuhnya oleh Partibhan tanpa bantuan pihak lain.

Statistik videonya juga tidak mengecewakan dengan angka lebih 10,000 tontonan untuk setiap video. Saat Kiev Major berlangsung baru-baru ini, keseluruhan videonya dimuat naik ketika itu mencecah sejuta tontonan.

Atas sebab ini juga, dia mendapat tawaran secara terus dari organisasi luar untuk ke kejohanan Dota 2 peringkat antarabangsa seperti Dota Pit Season 4 dan 5. Yang terbaru, Partibhan dijemput ke ESL One Genting untuk membuat liputan dan menghasilkan video menarik di akaun Instagram miliknya.

“Saya anggap peluang ini bagai bulan jatuh ke riba. Siapa tak suka pergi ke negara asing dan menyaksikan sendiri kejohanan besar di depan mata. Tapi apa yang penting, saya berbangga dapat memberikan sumbangan kepada komuniti Dota 2 biarpun ia tidaklah sebesar mana. Sekurang-kurangnya boleh nampak industri ini berkembang ke arah yang sepatutnya,” katanya.

Berkat usaha kerasnya, Partibhan kini ditaja oleh Asus ROG dan Sapphire Technology untuk terus menghasilkan video menarik bagi tatapan peminat Dota 2 di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 4:37 AM