S. Parthiban menujukkan air parit yang dipercayai tercemar sehingga menyebabkan ternakan lembunya mati. FOTO Faliq Lajim
S. Parthiban menujukkan air parit yang dipercayai tercemar sehingga menyebabkan ternakan lembunya mati. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


LAPAN penternak lembu di Ladang Bukit Cloh, Kuala Selangor, kerugian hampir RM60,000 selepas 15 haiwan ternakan mereka mati secara berperingkat-peringkat sejak dua minggu lalu.

Penternak mendakwa kejadian itu berlaku selepas lembu ternakan mereka minum air parit yang dipercayai tercemar.

Wakil penternak, S Parthiban, 44, berkata, sejak mewarisi penternakan lembu dari datuknya, ini adalah kali pertama lembu ternakannya mati dalam kuantiti yang banyak.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku selepas lembu miliknya itu minum air dari parit yang dipercayai tercemar berikutan terdapat pelepasan air dari tapak pelupusan sanitari di situ.

"Pada 14 Ogos lalu, lapan ekor lembu milik saya dan rakan mati. Semua itu terjadi selepas kami melepaskan lembu-lembu kami ke parit untuk minum air.

"Selepas sahaja minum air parit berkenaan, lembu-lembu kami terus jatuh rebah dan mati. Malah, kesemua mulut lembu itu juga turut berbuih," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata, kejadian itu sekali lagi berlaku pada Ahad lalu apabila tujuh ekor lembu miliknya dan penternak yang lain turut mati selepas sekali lagi minum air di parit berkenaan.

Katanya, ekoran kejadian itu, beliau terpaksa menanggung kerugian yang sangat banyak dan terpaksa melupakan hasrat untuk menjual sebahagian lembunya sempena perayaan Aidiladha ini.

"Memang ada yang sudah bayar deposit bagi membeli lembu-lembu saya untuk raya ini. Namun, saya terpaksa membatalkan hasrat berkenaan takut terjadi apa-apa.

"Deposit juga semua saya sudah pulangkan. Sedikit kesal berikutan perayaan ini adalah peluang untuk kami mencari wang lebih dengan menjual lembu. Namun, tiada rezeki.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera. Mahu membela seekor lembu bukannya mudah. Ini kita sudah bela sampai besar tiba-tiba mati macam itu sahaja," katanya.

Partibhan berkata, dia juga sudah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jeram pada Ahad lalu berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli, berkata, beliau sudah menghubungi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, MDKS sudah mengambil sampel air sungai berkenaan bagi memastikan jika terdapat kandungan toksik dalam sungai berkenaan dan JPV juga sudah mengambil lembu yang mati untuk dibedah siasat semalam.

"Semalam apabila meninjau sendiri keadaan sungai itu, pada pandangan mata kasar saya melihat memang ada kesan-kesan minyak serta bau toksik.

"Cuma buat masa sekarang, kita kena tunggu laporan lanjut daripada pihak MDKS dan juga JPV. Kami tidak mahu tuduh sembarangan.

"Jika MDKS mendapati terdapat pencemaran dalam air parit itu, kami akan memanggil pihak kementerian untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 5:39 PM